SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya melaporkan diri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini dilapor dibatalkan pertukaran.

Difahamkan mereka berdua akan dikekalkan di SPRM, bagaimanapun tidak dinyatakan menyandang jawatan sama atau sebaliknya.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob diarah bertukar ke JPM berkuatkuasa hari ini.

Kedua-dua pegawai SPRM itu hari ini berjumpa dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri  Dr Ali Hamsa.

Surat daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini dilaporkan menyebut bahawa kedua-dua mereka dipindahkan atas 'masalah disiplin'.

Pihak media kini sedang berkumpul di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi menantikan perkembangan terbaharu tentang isu ini.