Home » » Tun Mahathir Dedah Bukti Duit RM 2.6Bilion

Tun Mahathir Dedah Bukti Duit RM 2.6Bilion

Written By canang on Jumaat, 28 Ogos 2015 | 8/28/2015 05:08:00 PTG

1. Dato’ Sri Najib dan penyokong-penyokongnya perlu berhenti untuk cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa 2.6 bilion Ringgit dalam akaun peribadinya adalah derma.

2. Tiada siapa percaya atau boleh percaya bahawa wang sejumlah besar itu boleh diderma oleh sesiapa kepada Dato’ Sri Najib atau kepada sesiapa sahaja atas apa jua sebab.

3. Menjelaskan bahawa ia telah diberi kerana pendirian Malaysia terhadap Islamic State (IS) adalah tidak munasabah kerana Islamic State mulai menunjukkan jenama keganasan mereka itu hanya pada tahun 2014 manakala wang itu masuk pada tahun 2013 atau sebelum.

4. Berkata ia adalah kerana sikap kesederhanaan Malaysia dalam Islam adalah juga tidak masuk akal kerana Malaysia tidak pernah berpendirian melampau dalam amalan Islam.

5. Mengapa 700 juta dolar? Sesungguhnya ini adalah terlalu besar untuk keperluan pilihan raya di Malaysia, kecuali ia adalah untuk merasuah pengundi Malaysia. Mengapa ada orang yang mahu merasuahkan pengundi Malaysia supaya Najib boleh menang. Rakyat Malaysia telah menyokong BN tanpa perlu dibayar rasuah besar oleh sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi oleh orang-orang asing.

6. TPM baru mengatakan dia telah berjumpa Arab yang memberikan wang itu. Jikalau begitu hendaklah ia buktikan bahawa Arab ini mempunyai sejumlah wang yang banyak untuk diberikan kepada Malaysia dan negara-negara lain. Apakah sumber wang ini? Apa perniagaan yang dia buat? Apakah nama bank yang dia gunakan? Tunjukkan akaunnya di bank, cek-cek yang beliau keluarkan, terutamanya USD700 juta itu. Bank penerima mesti masih memegang cek-cek itu.

7. Semua maklumat ini mungkin telah pun disahkan oleh pasukan petugas yang empat itu. Tetapi Najib telah membongkarkan pasukan petugas dengan memecat Peguam Negara, menghantar ketua SPRM bercuti, dan menuduh Bank Negara membocorkan rahsia Kerajaan.

8. Sekarang SPRM dikatakan masih menyiasat 2.6 bilion itu. Ia adalah suatu SPRM yang telah dilumpuhkan. Jika Najib serius untuk menyiasat RM2.6 bilion kepunyaannya dalam Ambank, beliau perlu melantik semula pasukan tugas yang asal. Satu pasukan petugas baru yang penuh dengan orang-orangnya tidak mempunyai kredibiliti.

9. Bank perlu mengekalkan kerahsiaan perbankan. Tetapi bank-bank juga dikehendaki melaporkan pengubahan wang haram yang disyaki. Bank-bank Malaysia, bank-bank Singapura, bank-bank Switzerland dan bank-bank Amerika tidak patut merahsiakan perniagaan mereka yang melibatkan wang yang disyaki dicuri. Apa yang telah dilakukan mereka?

10. Apabila wang yang dicuri dimasukkan melalui bank-bank, objektifnya adalah untuk menjadikan ia halal, untuk menyucinya (launder). Namun wang itu telah lesap dari Ambank kerana akaun itu ditutup.

11. Apabila akaun ditutup, ini tidak bermakna bahawa jumlah wang yang besar itu dibawa keluar secara tunai. Ia semestinya telah dipindahkan kepada bank lain. Namun kita tidak mendengar mana-mana bank yang melaporkan wang ini ada pada mereka. Dua akaun dilaporkan dibekukan di Singapura. Itu sahajakah? Sesungguhnya pemegang akaun perlu disiasat. Tetapi setakat ini tiada apa yang kedengaran. Adakah bank-bank boleh ambil wang ini! Jika ini tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang perlu diambil, sudah jelas wang ini telah dicuci (laundered).

12. Jika ini adalah demikiannya, maka mengapa bank perlu meneliti sejumlah wang yang banyak yang didepositkan dengannya. Lebih baik mereka langsung tidak meneliti jika jumlah besar yang mencurigakan itu, yang menjadikan subjek penuh kontroversi ini, disimpan sahaja oleh mereka.

13. Orang ramai mempunyai hak untuk tahu kerana orang ramai tidak percaya bahawa RM2.6 bilion adalah hadiah peribadi kepada PM Malaysia untuk beliau memenangi pilihan raya. Rakyat Malaysia tidak mahu mempercayai bahawa calon mereka untuk pejabat tertinggi di negara ini merupakan penama seseorang dari negara lain. Apakah yang akan menjadi kewajipan beliau kepada penyokong-penyokong? Adakah beliau akan berkhidmat untuk rakyat Malaysia atau untuk negara asing?

14. Berhentilah berfikir bahawa rakyat Malaysia bodoh.
Share this article :

1 ulasan:

aku berkata...

Undang kat Malaysia ini hanya untuk rakyat marhaen sahaja atau ikan bilis, VVIP dan ikan jerung pasti terlepas dengan hukuman dunia ini.

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger