Home » »

Written By canang on Ahad, 8 Mei 2016 | 5/08/2016 05:18:00 PTG

NOTA UNTUK MOHAMAD SABU
.
5 Mei 2016
.
Tuan Haji Mohamad Sabu
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)
Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan
.
Abang Mat,
UMNO sedang berada dalam keadaan yang sangat lemah. Dari dulu pun UMNO lemah. Semua orang tahu. Orang UMNO sendiri pun mengaku UMNO lemah.

Ramai orang tidak suka UMNO. Di mana-mana pun, susah nak jumpa orang yang sokong UMNO. Dalam 10 orang yang kita jumpa, nak cari satu orang penyokong UMNO pun payah!
Tetapi, setiap kali pilihanraya, Barisan Nasional tetap menang. Kenapa?
Kerana rakyat cuma tidak suka UMNO, tetapi dalam pilihanraya, nama UMNO sudah tidak ada, calon UMNO tidak ada, bendera UMNO tidak ada.... Yang ada ialah Barisan Nasional.
Barisan Nasional ialah sebuah parti yang besar, kerana ia terbentuk hasil dari gabungan UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, SUPP, PBS, JKR, JPA, SPR, PDRM dan lain-lain.
Abang Mat,
Amanah boleh lawan UMNO. PKR boleh lawan UMNO. DAP boleh lawan UMNO. Tetapi, Amanah tidak mampu lawan Barisan Nasional. PKR tidak ada upaya nak lawan Barisan Nasional. DAP tidak ada kemampuan nak lawan Barisan Nasional.
Tetapi yang boleh lawan Barisan Nasional ialah Pakatan Harapan!
Dalam PRU-12 dan PRU-13, kita mencabar Barisan Nasional dengan kekuatan Pakatan Rakyat, mentelah pula dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Rakyat memberi undi kepada PAS, kepada PKR, kepada DAP pada ketika itu ialah atas dasar Pakatan Rakyat mahu menumbangkan Barisan Nasional, bukan kerana rakyat kagum dengan kehebatan PAS atau PKR atau DAP...!
Abang Mat,
Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, beberapa kabilah Arab telah terlibat dengan gerakan riddah, iaitu murtad dari Agama Islam. Salah satunya ialah bani Hanifah yang tinggal di Yamamah. Pemimpin mereka bernama Musailamah al-Kazzab.
Khalifah Abu Bakar menghantar pasukan tentera di bawah pimpinan Ikrimah bin Amru untuk ke Yamamah memerangi Musailamah al-Kazzab. Satu lagi pasukan tentera di bawah pimpinan Syarhabil bin Hasanah juga di arahkan ke Yamamah. Khalifah Abu Bakar juga mengarahkan Khalid al-Walid dan pasukannya, setelah selesai menghadapi bani Asad yang murtad mengikut ketua mereka, iaitu Thulaihah bin Khuwailid; dan bani Tamim yang mengikut Malik bin Nuwairah, juga diperintahkan pergi ke Yamamah.
Oleh kerana pasukan tentera Musailamah al-Kazzab sangat kuat dan dalam jumlah yang ramai, maka Khalifah Abu Bakar terpaksa menghantar tiga pasukan tentera di bawah pimpinan tiga orang panglima pasukan diperintahkan untuk ke Yamamah.
Ikrimah bin Amru, seorang pahlawan muda, yang kemudiannya gugur dalam Perang Yarmuk ketika bertempur dengan tentera Rome, ialah putera kepada Abu Jahal. Dia agak tergesa-gesa untuk mengalahkan Musailamah al-Kazzab tanpa menghitung keseimbangan kekuatan serta tidak menunggu kedatangan pasukan Syarhabil bin Hasanah. Pasukannya porak-poranda dihambat oleh pasukan bani Hanifah, dan terpaksa berundur dari medan peperangan. Mereka mendirikan khemah di situ dan menghantar lapuran ke Madinah.
Khalifah Abu Bakar sangat marah dengan tindakan Ikrimah bin Amru. Beliau mengirimkan jawapan yang keras, berbunyi : “Jangan datang menemui ku dan aku tidak mahu berjumpa dengan kamu! Jangan pulang ke Madinah kerana akan buruk sekali akibatnya. Pergilah menyusul Huzaifah dan Arfajah memerangi penduduk Oman dan Mahra. Kemudian pergilah membantu Muhajir bin Abi Umayyah di Yaman dan Hadhramaut.”
Kepada Syarhabil bin Hasanah dikirimkan perintah supaya menunggu kedatangan pasukan Khalid al-Walid, bergabung dengannya, untuk berhadapan dengan Musailamah al-Kazzab.
Abang Mat,
Kita ibaratkan Musaimah al-Kazzab itu sebagai Barisan Nasional. Maka, kita jangan ulang kesilapan Ikrimah bin Amru. Parti-parti pembangkang yang mahu tumbangkan Barisan Nasional mesti bergabung menjadi satu.
Dalam Perang Yarmuk pun begitu. Pasukan tentera Islam dalam keadaan terpisah-pisah antara satu pasukan dengan pasukan yang lain. Pasukan tentera di bawah pimpinan Amru bin As tiba dari Paletine. Pasukan tentera di bawah pimpinan Abu Ubaidah bin Jarrah tiba dari Damaskus. Pasukan tentera di bawah pimpinan Yazid bin Abu Sufyan tiba dari Balkan. Pasukan tentera di bawah pimpinan Syarhabil bin Hasanah tiba dari Jordan. Pasukan tentera di bawah pimpinan Ikrimah bin Abu Jahal dari Oman. Pasukan tentera di bawah pimpinan Khalid bin Walid tiba dari Iraq.
Enam orang panglima berunding. Keputusan dicapai untuk menghantar utusan ke Madinah, meminta pandangan Khalifah Abu Bakar.
Jawapan Abu Bakar ketika itu berbunyi : “Ijtami'uu bi'l-Yarmuki, mutasanidiin!”
Maksudnya : “Satukan seluruh pasukan di Yarmuk, dan hendaklah saling membantu!”
Khalifah Abu Bakar juga melantik Khalid al-Walid sebagai Qaid-al-‘Am, atau ketua umum untuk memimpin seluruh pasukan.
Abang Mat,
Tidak boleh tidak, kalau nak lawan Barisan Nasional, lawanlah dengan Pakatan Harapan. Biarlah semua calon dari parti Amanah, DAP dan PKR bertanding atas nama Pakatan Harapan dan menggunakan satu logo sahaja, iaitu logo Pakatan Harapan. Logo huruf A, roket dan mata, biarlah untuk urusan dalam parti sahaja, tetapi dalam pilihanraya, gunakan hanya satu logo yang umum, seumpama lambang dacing bagi Barisan Nasional. Logo keris telanjang UMNO tidak ada pun masa pilihanraya, tapi UMNO tetap tak jatuh.
Biarlah seluruh perhatian kita tertumpu kepada matlamat yang satu, iaitu untuk menukarkan kerajaan Barisan Nasional.
Abang Mat,
Kami menjangkakan PRU-14 akan diadakan lebih awal. Keadaan politik di Terengganu sangat tidak stabil. Ahmad Said boleh jatuhkan kerajaan Barisan Nasional bila-bila masa saja. Setelah MB Razif dimurkai Sultan, dan ditarik balik segala pingat kebesaran dan gelaran, akhirnya Najib berunding dengan Sultan untuk mengekalkan Razif sebagai Menteri Besar.
Ada kemungkinan, Najib memujuk Sultan untuk mengekalkan Razif dengan alasan hanya sementara saja, sebelum Najib membubarkan parlimen.
Kalau diadakan pilihanraya umum dalam keadaan Pakatan Harapan seperti sekarang, kita akan kalah teruk.
Sudilah pertimbangkan saranan ini. Rakyat mahu lihat kebijaksanaan dan kesepakatan pemimpin Pakatan Harapan, bukan mahu melihat kekayaan kalian.
Demikian adanya.
.
Abe Awang Malaya
b/p JEBONESTA
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger