Home » » Perak negeri kedua termiskin,

Perak negeri kedua termiskin,

Written By canang on Ahad, 18 September 2016 | 9/18/2016 06:06:00 PTG


GERIK - Laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang meletakkan Perak sebagai negeri kedua termiskin di Malaysia adalah tidak logik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata ini kerana kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan Perak terus berkembang maju.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff supaya bersama-sama dengan pihak KRI bertemu dengan kerajaan negeri untuk menjelaskan laporan tersebut.
"Saya minta KRI berikan penerangan mengenai metodologi mereka untuk mendapatkan rumusan laporan tersebut dan perbetulkan tanggapan tersebut.
"Menteri Besar Perak juga tidak bersetuju dengan laporan itu, kita kena iktiraf kerja kuat kerajaan negeri," katanya.
Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Gerik di Pengkalan Hulu kira-kira 50 kilometer dari sini.
Menurut Abdul Rahman yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi, terdapat banyak kriteria yang perlu dipenuhi untuk meletakkan sesebuah negeri sebagai antara termiskin.
"Bukan saya kata laporan itu salah, tapi untuk melihat sesuatu negeri itu miskin banyak yang perlu diikuti, saya khuatir data (dalam KRI) tidak tepat.
"Misalnya di sini (Pengkalan Hulu) walaupun di hujung Perak, tetapi ia membangun, lebih baik daripada beberapa kawasan lain," katanya.
KRI dalam laporannya pada Isnin menyebut Perak menjadi negeri kedua yang mempunyai isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan selain 81.1 peratus isi rumahnya berpendapatan kurang RM6,000 sebulan.
Laporan itu turut menyebut Perlis dan Pahang juga antara negeri yang mempunyai peratusan isi rumah berpendapatan kurang RM6,000 yang tertinggi iaitu masing-masing pada kadar RM80.3 peratus. - Bernama
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger