PETALING JAYA: Panel Tatatertib Universiti Malaya (UM) hari ini
memutuskan bahawa Anis Syafiqah Mohd Yusof bersalah atas tiga pertuduhan
menganjurkan perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1 pada Ogos lalu.
Beliau didapati bersalah: mengadakan, menganjurkan dan memanggil suatu
perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1; merosakkan dan memudaratkan
kepentingan, kesejahteraan serta nama baik UM kerana menyertai himpunan
haram; dan merosakkan dan memudaratkan ketenteraman dan keselamatan
awam, moral, kesopanan serta tatatertib kerana menyertai himpunan
tersebut.
“Setelah selesai sambungan prosiding selama 2 jam, pihak Panel
Tatatertib UM telah memutuskan bahawa saya bersalah atas kesemua
pertuduhan.
“Hukuman tatatertib akan dimaklumkan secara bertulis dalam tempoh 14
hari dari sekarang,” kata Anis dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di
Facebook.
Beliau berdepan hukuman denda RM200, penggantungan, pemecatan atau amaran.
Pada September, pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia bersama tiga
siswa lain diberi surat tunjuk sebab oleh pentadbiran Universiti Malaya
susulan pembabitan mereka dalam tunjuk perasaan #TangkapMO1.
#TangkapMO1 bertujuan mendesak polis menyiasat dan menangkap individu
misteri yang disebutkan sebagai Malaysian Official 1 dalam saman Jabatan
Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Tiga siswa UM lain yang berdepan tindakan tatatertib ialah Mohamad
Luqman Nul Haqim, Muhammad Luqman Hakim Fazli dan Suhail Wan Azahar.
Pada November, siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Asheeq Ali
digantung 1 semester dan didenda RM200 juga kerana terbabit dalam
#TangkapMO1.
Asheeq juga didakwa memalukan nama baik universiti dan melakukan
kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman (2012) kerana menyertai
perhimpunan haram.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan