PELABUHAN KLANG- Pasukan Gerakan Marin (PGM) mematahkan cubaan menyeludup keluar 18 warga Afghanistan termasuk seorang wanita dan dua warga Indonesia selepas menahan dua buah sampan di perairan Tanjong Karang, dekat sini, semalam.
Pegawai Pemerintah PGM Wilayah 1 Pelabuhan Klang, DSP Marzuki Ismail berkata turut ditahan ialah tiga tekong rakyat Indonesia yang merupakan pemegang kad pemastautin tetap (PR) di negara ini.
Katanya kesemua warga asing berumur antara 22 tahun dan 54 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam dipercayai sedang dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia.
Selepas menerima maklumat, dua bot laju PGM dikejarkan ke kawasan kejadian dan menahan dua sampan yang masing-masing dinaiki 11 dan 12 penumpang, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Pemeriksaan mendapati 11 warga Afghanistan memiliki pasport antarabangsa yang sah dan masuk ke negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) manakala tujuh lagi tiada dokumen pengenalan diri," katanya.
Marzuki berkata warga Afghanistan itu menjadikan negara ini sebagai transit sebelum menuju ke Tanjung Balai dan seterusnya ke Dili, Indonesia, sebelum menyusup masuk secara haram ke Australia.
Katanya dua warga Indonesia itu pula mahu pulang ke kampung halaman mereka. Menurutnya warga Afghanistan itu dikatakan membayar US$1,300 (RM4,511) seorang sebagai tambang ke Tanjung Balai.
Marzuki berkata pihaknya masih menyiasat kemungkinan pembabitan rakyat tempatan selepas mendapati bentuk sampan yang dinaiki kesemua warga asing itu adalah sama dengan yang sering digunakan oleh nelayan tempatan.
Katanya warga asing itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002) kerana keluar menggunakan laluan yang tidak diwartakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.