Isnin, 19 Oktober 2009

Isteri ugut jual bayi


OHOR BAHRU: Luluh hati seorang suami apabila isteri yang sedang mengandung anak sulung tergamak memberi kata dua supaya menghentikan usaha memujuknya selepas lari dari rumah atau menghadapi kemungkinan bayi itu dijual kepada orang lain dengan harga tertentu.
Lebih mengecewakannya, isteri yang mempunyai rupa paras menawan dan bakal ibu kepada anak sulungnya itu sanggup bertindak demikian selepas mendakwa tidak tahan dengan kerenah ibu mentua.
Pada peringkat awal, semuanya indah buat Chan Thin Sang, 38, apabila mengenali isterinya, Mai Thi Thuy Hang, 25, selepas dipertemukan seorang lelaki yang mendakwa berkhidmat dengan sebuah agensi cari jodoh di Sengkang, Kulai, penghujung Mei lalu.
“Selepas tiga kali bertemu, saya mula jatuh cinta dan bertekad melamar Mai untuk dijadikan isteri serta menyerahkan segala urusan perkahwinan kepada agensi mencari jodoh berkenaan termasuk membayar yuran pendahuluan RM7,000 untuk proses penyediaan dokumen.“Selepas semua dokumen lengkap, saya membuat akuan bersumpah mendaftarkan perkahwinan. Segala urusan pendaftaran perkahwinan diselesaikan pada 1 Julai lalu sebelum membuat bayaran akhir kepada agensi RM7,000 lagi,” katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di Jalan Maju di sini, semalam.Kegembiraan Chan dalam mengharungi kehidupan berumah tangga semakin terasa apabila isterinya disahkan mengandung anak pertama beberapa bulan kemudian.

“Hidup kami bertambah bahagia, sama seperti pasangan lain sementara isteri pula semakin fasih berbahasa Mandarin.
“Bagaimanapun, segala-galanya berubah sekelip mata apabila Mai tidak pulang ke rumah selepas memberitahu ingin keluar membeli barang dapur di pasar pada 14 September lalu,” katanya.
Chan berkata, dia hairan tingkah laku isterinya tiba-tiba berubah sedangkan mereka tidak pernah berselisih faham sepanjang perkahwinan.
Menurut Chan, dia membuat laporan polis pada malam isterinya dilaporkan hilang sebelum menghubungi pihak agensi bertanyakan maklumat berhubung kemungkinan Mai mendapatkan pertolongan mereka.
Menerusi orang tengah yang pernah berurusan dengannya, Chan diberitahu Mai ada datang ke agensi pada hari kejadian, tetapi berkeras untuk pulang ke Vietnam dengan alasan tidak tahan dengan kerenah ibu mentua.

“Awal Oktober lalu, Mai menghubungi saya memohon maaf dan memberitahu dia tidak mahu lagi pulang ke negara ini.
“Biarpun puas dipujuk, Mai berkeras mahu melahirkan bayi kami di negara asalnya dan enggan mendengar nasihat,” katanya.
Chan berkata, dia paling bimbang apabila seorang saudara isterinya memberitahu Mai bercadang menjual bayi mereka jika terus dipujuk meneruskan perkahwinan itu.
“Saya sudah berusia 38 tahun...saya sangat menyayangi isteri dan bakal bayi kami. Apa yang penting, saya hanya mahukan keluarga sempurna dan bahagia.

“Ibu juga berjanji berubah sikapnya seandainya isteri tidak selesa dengan caranya menegur dan menasihati kami suami isteri,” katanya.
Sementara itu, Ketua MCA Bandar Baru Tampoi, Michael Tay Chee Boon, berkata pihaknya memohon kerjasama Kedutaan Vietnam mengesan semula Mai bagi mengetahui punca sebenar wanita terbabit melarikan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.