Selasa, 27 Oktober 2009

Janda bekas ahli politik bergelar Datuk tuntut hutang mas kahwin, minta rumah banglo, kereta Mercedes Benz C200


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menetapkan 21 Mac depan bagi mendengar kes seorang pramugari yang menuntut bekas suaminya, seorang bekas ahli politik bergelar Datuk, menjelaskan tunggakan mas kahwin berupa sebuah banglo dan hadiah pernikahan sebuah kereta Mercedes Benz C200 yang tertangguh sejak empat tahun lalu.
Hakim Syarie Abu Bakar Mohd. Daud memutuskan tarikh itu apabila wujud keraguan berhubung bidang kuasa mahkamah dalam mengendalikan kes berkenaan selepas mendapati dokumen pengesahan tempat tinggal plaintif, Aishah Abu Bakar, 33, tidak lengkap.
Aishah yang hadir semalam diwakili peguam syarie, Azmi Mohd. Rais manakala defendan, Datuk Saidi @ Ramli Suari, 55, yang tidak hadir kerana kurang sihat diwakili peguam syarie, Moeis Basri.
Dalam penyata tuntutannya, Aishah yang bekerja dengan Penerbangan Malaysia (MAS) menuntut defendan membeli dan menyerahkan rumah banglo berhampiran Bandar Utama di Damansara secara pemilikan sempurna atau memberikan sejumlah wang yang sama nilai dengan banglo itu.
Selain itu, defendan juga dituntut supaya membayar tunggakan pemberian Mercedes Benz C200 sebanyak RM144,000 untuk menebus harga belian (jumlah pinjaman) kereta bernombor plat pendaftaran WMY 75 berkenaan.

Defendan turut diberi pilihan untuk membayar segala hutang dan ansuran bank ke atas kereta Mercedes Benz sehingga selesai.
Selain itu, plaintif dalam tuntutan yang difailkan pada 31 April 2008 itu juga mahu defendan, bekas Ketua UMNO Bahagian Bandau, Kota Marudu, Sabah menanggung semua kos mahkamah serta sebarang perintah atau relif yang patut dan wajar diputuskan mahkamah.
Aishah yang ditemui wartawan berkata, pihaknya tidak berpuas hati apabila mas kahwin iaitu sebuah banglo seperti dijanjikan bekas suaminya dan direkodkan dalam sijil perkahwinan ketika mereka bernikah di London pada 4 Februari 2005 belum ditunaikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.