Ahad, 18 Oktober 2009
Kilang mercun meletup, 32 maut
SATU letupan di sebuah kilang mercun haram di selatan India malam kelmarin mengakibatkan sekurang-kurangnya 32 orang maut dan sepuluh orang cedera.
Agensi berita rasmi Press Trust of India melaporkan, mangsa terdiri daripada peruncit yang sibuk membeli mercun dalam bentuk pukal untuk dijual kepada jutaan penganut Hindu yang meraikan Deepavali semalam.
Polis berkata, setakat ini 32 mayat rentung berjaya dibawa keluar dari sebuah gudang mercun di Pallipat dekat Chennai, ibu negeri Tamil Nadu, 1,753 kilometer ke barat laut New Delhi.
Seorang pegawai kerajaan tempatan, Palani Kumar berkata, tiga orang dimasukkan ke hospital kerana melecur teruk namun punca kebakaran itu masih tidak diketahui.
Pihak polis menahan dua orang termasuk pemilik gudang itu. Beberapa bandar besar di India memiliki banyak kilang mercun haram yang dibina sempena perayaan utama seperti Deepavali.
Bahan letupan itu turut mendapat permintaan bagi melakukan upacara keagamaan tertentu malah ada sebilangan bengkel pembuatan mercun yang beroperasi di kediaman persendirian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.