Sabtu, 31 Oktober 2009

Nizar News:Dua Anggota JPJ Cedera Parah Diserang

Dua anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang cedera selepas seorang pembonceng motosikal membaling batu ke arah kereta pacuan empat roda mereka di Jalan Sungai Bakap di sini hari ini.
Ketua Polis Seberang Perai Selatan (SPS) ACP Supt Shafien Mamat berkata pemandu kereta peronda JPJ Nur Suhaimi Kamarudin, 27, mengalami kecedaran parah di muka akibat terkena batu dan serpihan kaca manakala rakannya Ruzaizul Ahmad, 29, cedera ringan.
"Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu kedua-dua anggota JPJ berkenaan sedang melakukan rondaan dari Simpang Ampat ke Sungai Bakap sebelum di serang oleh dua lelaki menaiki motosikal.

"Dua lelaki dari arah bertentangan itu tiba-tiba bertindak membaling batu menyerupai saiz batu bata ke arah cermin hadapan pacuan empat roda berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shafien berkata ekoran balingan itu, Nur Suhaimi gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan berkenaan.
Katanya pembonceng motosikal itu kemudian bertindak membaling batu sebelum memecut laju ke arah laluan Simpang Ampat.
Shafien berkata berdasarkan maklumat awal, kedua-dua lelaki itu berusia dalam lingkungan 20an dan berkulit gelap.

Katanya Nur Suhaimi menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya dan keadaannya kini dilaporkan stabil manakala Ruzaizul dirawat di Hospital Sungai Bakap.
Katanya polis masih menyiasat motif sebenar kejadian berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ia didalangi tonto atau pihak yang tidak berpuas hati dengan aktiviti penguatkuasaan JPJ.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-58244222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.