Jumaat, 16 Oktober 2009
NIZAR VS NAJIB: Lancar 1Malaysia anggarkan bersama lebih 50,000 rakyat Perak
IPOH: Lebih 50,000 rakyat berbilang kaum dan agama dijangka memenuhi Stadium Perak, di sini, Ahad ini bagi pelancaran program 1Malaysia Bersama Rakyat Perak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Selain persembahan nyanyian dan kesenian, program yang akan dilancarkan jam 8.30 malam itu juga dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti pameran dan gerai jualan yang bermula esok.
Program "1Malaysia Bersama Rakyat Perak" yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan acara mesra rakyat itu adalah yang julung kali diadakan dan ia akan dilancarkan di setiap negeri selepas ini.
Mengikut atur cara program itu, ia dimulakan dengan gotong-royong Perdana 1Malaysia di pekan Chemor pada 7 pagi, manakala aktiviti demonstrasi melukis oleh Angkatan Pelukis Perak, sukan rakyat, pertandingan mewarna dan teka-teki 1Malaysia akan berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak serta Stadium Indera Mulia, di sini.
Lambakan barangan antik di pasar Lokin di sini serta ekspo dan gerai jualan di perkarangan Stadium Indera Mulia yang berterusan sehingga malam Ahad juga dijangka mendapat sambutan hangat. Aktiviti "RTM Turun Padang" dan Pentarama juga akan diadakan di kawasan sekitar stadium itu bagi menyebarkan maklumat serta menghiburkan rakyat Perak menerusi rancangan radio dan televisyen.
Ahad yang menjadi hari kemuncak pelancaran pula dimeriahkan dengan Senam Seni 1Malaysia, pameran 1Malaysia dan pertandingan pidato 1Malaysia pada sebelah pagi di Stadium Perak dan Stadium Indera Mulia..
Pada sebelah malam pula, Perdana Menteri dijangka tiba jam 8.40 malam di Stadium Perak dengan diiringi Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi melancarkan program berkenaan.
Nyanyian lagu Negaraku, 1Malaysia dan lafaz ikrar Rukun Negara akan diperdengarkan sebelum Rais dan Zambry menyampaikan ucapan masing-masing.
Sejurus lepas itu, Najib akan menyampaikan ucapan pelancaran yang akan dihayati tetamu yang terdiri daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.