Khamis, 22 Oktober 2009

NIZAR VS ZAMBRY,Sivakumar, enam lain dibenar cabar keputusan SPR


KUALA LUMPUR: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, dan enam lagi diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak.
Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang, Chen Fook Chye, Tai Singh Ng dan A Sivanesan, serta tiga pengundi, Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang) diberi kebenaran untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR itu.
Sebelum ini, SPR mengambil keputusan untuk tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang apabila wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi Adun bebas.

Hakim Lau Bee Lan membuatkan keputusan itu dalam kamar selepas menolak bantahan awal Pejabat Peguam Negara bahawa pemohon itu tidak mempunyai "locus standi" atau hak undang-undang untuk mencabar keputusan SPR.
Sebaliknya, hakim itu memerintahkan bahawa Sivakumar dan enam lagi mempunyai "locus standi" untuk berbuat demkian (mencabar keputusan SPR).
Berikutan keputusan hari ini, peguam pemohon, Ranjit Singh, berkata mereka akan memfailkan permohonan semakan kehakiman di mana mahkamah akan menentukan tarikh untuk mendengar perkara itu.
Hakim Lau juga tidak menerima hujah Pejabat Peguam Negara bahawa permohonan itu bersifat akademik semata-mata berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lalu bahawa SPR dan bukan Speaker mempunyai hak untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi pilihan raya.

Pemohon berkenaan mengemukakan saman terhadap SPR dan Jamaluddin Mohd Radzi (Adun Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Adun Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Adun Jelapang).
Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi DUN itu atas tiket Parti Keadlian akyat (PKR) manakala Hee atas tiket DAP pada pilihan raya umum tahun lalu.
Mereka meninggalkan parti masing-masing dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN), sehingga mendorong kejatuhan kerajaan negeri pakatan pembangkang Pas-PKR-DAP pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pas sebagai menteri besar.
Pada 3 Februari lalu, Sivakumar memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan tiga kerusi itu selepas dikatakan menerima surat peletakan jawatan dari Jamaluddin dan Osman pada 1 Februari manakala Hee pada 3 Februari lalu.
Bagaimanapun, SPR sangsi dengan surat peletakan jawatan itu dan tidak mengadakan pilihan raya kecil di kawasan masing-masing.

Dalam permohonan meminta kebenaran yang difailkan pada 10 Mac lalu, Sivakumar dan enam lain memohon deklarasi bahawa kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang menjadi kosong berikutan peletakan jawatan oleh Jamaluddin, Osman dan Hee.
Mereka juga memohon satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiga mereka bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas sebagai Adun.
Mereka juga turut memohon writ bersifat "quo warranto dikeluarkan kepada ketiga-tiga Adun itu dengan memerintahkan mereka memberikan tunjuk sebab dan maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa mana kesemua mereka kononnya masih Adun kawasan masing-masing dan bertindak menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai wakil rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.