KUALA LUMPUR: "Kelakuannya yang ketakutan sambil menunjukkan ke arah lelaki Sudan dan berkata 'takut-takut' masih terbayang dalam ingatan saya.
Apabila tahu satu-satunya cucu saya meninggal dunia, saya meraung dan hampir pengsan. Kini saya terlalu benci kepada anak saya dan tidak lagi menganggapnya sebagai anak," kata Amran Mohd Said, 49, datuk kepada Alia Aiman, 3, kanak-kanak yang mati dipercayai didera ibunya bersama teman lelaki warga Sudan, di Kondominium Reniville, Taman Puteri Batu 9, Cheras dekat sini, pada 12 Oktober lalu.
Amran yang dihubungi berkata, Alia menyatakan perkara itu kepadanya ketika mengunjungi cucunya itu di rumah anak perempuannya bulan lalu.
"Saya bertanya mengapa Alia berkelakuan begitu, namun anak saya berkata dia sekadar mahu mendidik cucu saya itu supaya menjadi budak baik.
"Saya juga ada bertanya mengenai tanda merah pada badan dan benjol pada dahi Alia, tetapi anak saya memberitahu ia kerana terjatuh," katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Sakaruddin Che Mood, berkata ibu mangsa berusia 24 tahun dan bekerja sebagai setiausaha sebuah syarikat swasta di ibu negara menghantar Alia yang tidak sedarkan diri ke hospital dan mendakwa menemuinya lebam seluruh badan sebaik pulang bekerja.
Bagaimanapun, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada organ dalamannya.
Amran juga berkata, beliau terlalu kecewa dengan tindakan anaknya yang tidak menceritakan keadaan sebenar yang berlaku terhadap Alia.
"Lelaki Sudan itu pernah berbual dengan saya dan daripada perbualan itu saya dapati dia jenis lelaki yang kasar. Isteri saya juga pernah lihat orang Sudan itu merentap tangan anak saya (ibu mangsa) dengan kasar.
"Saya juga bertanya kepada anak saya mengapa lelaki Sudan itu tinggal bersamanya, tetapi anak saya maklumkan lelaki itu menyewa bilik sebelah. Saya pernah beri kata dua kepadanya sama ada meminta lelaki Sudan itu keluar atau anak saya itu sendiri yang keluar," katanya.
Amran juga berkata, beliau memang mempunyai rancangan mahu mengambil dan membela Alia.
"Sebelum ini pun saya nak bela dia tetapi anak saya larang. Bagaimanapun, sebelum Aidilfitri lalu saya sempat menjaga cucu saya itu selama dua bulan," katanya sambil mengakui tujuan dia bekerja di sebuah syarikat kawalan keselamatan adalah untuk memelihara cucu kesayangannya itu.
Beliau berkata, jenazah Alia dikebumikan di Sungai Besi sehari selepas kematiannya.
Mengenai bapa Alia, beliau hanya berkata: "Sehingga kini saya tidak dapat mengesannya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.