Umno dan BN akan bangkit semula dan mengulangi kegemilangannya sepertimana parti Kongres di India dan Parti Kuomintang di Tawan yang pernah tewas tetapi bangkit semula dengan citra politik yang baru, kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Umno mampu menempuh cabaran ini dan memenuhi harapan baru. Ini kerana Umno adalah parti yang pragmatik dan pantas membaca keadaan serta berani membuat perubahan," katanya ketika merasmi serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC di ibu negara malam ini.
Untuk mencapai matlamat itu, katanya, ahli parti perlu mematikan agar tidak ada lagi antara "kita yang menjadi batu-api, batu ronson, kaki-cucuk, talam dua muka, pepat di luar, rencong di dalam, dan si Kitol yang lidah bercabang, langkah menyilang.
"Tidak ada lagi perpecahan dalaman, tidak ada lagi team A-team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan pemimpin, tidak ada lagi budaya ugut-mengugut, dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa. Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, Satu Umno!" katanya.
Muhyiddin mahu ahli parti itu mengambil pengajaran dan keinsafan daripada yang berlaku pada Parti Golkar di Indonesia yang tidak lagi sekental dulu dan Parti Nacionalista di Filipina telah lama tumpas.
"Yang paling mutakhir tumbang ialah Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun yang telah banyak berjasa membangunkan semula negara Jepun selepas Perang Dunia Kedua.
"Apakah yang menyebabkan parti-parti ini kecundang? Apakah jasa dan bakti parti-parti ini kepada pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara masing-masing tidak lagi dikenang oleh rakyat? Apakah rakyat mempunyai kehendak dan aspirasi yang berbeza daripada apa yang mampu ditawarkan oleh parti-parti ini? Atau apakah parti-parti ini menjadi angkuh dan pemimpinnya tamak oleh kerana terlalu lama berkuasa?" soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.