Rabu, 28 April 2010

28 Gigolo Bali ditahan

DENPASAR 27 April - Seramai 28 'budak pantai' yang didakwa menawarkan khidmat seks kepada pelancong wanita di Bali ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia selepas sebuah dokumentari mengenai 'gigolo' di pulau peranginan itu tersebar di Internet.

"Kami menangkap 28 lelaki yang kami syaki gigolo. Mereka muda, nampak cergas dan berkulit sawo matang, kebanyakan mereka budak pantai yang suka bermain luncur air," kata ketua pasukan keselamatan di pantai Kuta, I Gusti Ngurah Tresna.

Beliau berkata, pihaknya masih menyoal mereka yang ditahan itu dan jika terdapat sebab-sebab kukuh untuk mengesyaki mereka terlibat dengan kegiatan tidak sihat, mereka akan diserahkan kepada polis.

"Kami sentiasa berada di pantai, kerana itu kami dapat meneka siapa yang mungkin mengambil kesempatan daripada wanita asing," kata Tresna.

Penangkapan itu dilakukan selepas tayangan dokumentari, Cowboys in Paradise (Koboi di Syurga), karya penulis dan pengarah yang berpangkalan di Singapura, Amit Virmani dalam pesta filem di Korea Selatan pada Rabu lalu.

Beberapa segmen filem itu yang memaparkan temu bual terus terang dengan 'budak-budak pantai' dan wanita asing yang terpikat dengan mereka, tersebar luas di Internet selepas mula disiarkan di YouTube.

Tresna menganggap dokumentari itu bercanggah dengan imej Bali sebagai satu destinasi bertaraf dunia yang hendak diketengahkan oleh pihak berkuasa.

"Selama ini kami mempromosikan keindahan pantai dan ombak, pemandangan matahari terbenam, penyu, budaya dan pemuliharaan alam di Bali, dan tiba-tiba kami kini dilihat mempromosi gigolo? Filem seperti itu benar-benar mencemarkan imej kami," katanya.

Beliau tidak dapat menjelaskan jenis tuduhan yang boleh difailkan terhadap 'budak-budak pantai' itu dan mengakui adalah sukar untuk membuktikan mereka menawarkan khidmat seks.

"Kami menangkap beberapa orang suspek tidak berapa lama dahulu tetapi melepaskan mereka dengan amaran keras.

"Mereka akan mendekati pelancong asing wanita, terutamanya wanita Jepun, di pantai, untuk berbaik-baik dengan mereka dan wanita itu pula akan mengupah mereka untuk menjadi teman di samping menanggung kos makan minum mereka. Hubungan seks mungkin diadakan. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.