Tindakan Abby Abadi mewakili Norman Hakim di Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan (PPMH) baru-baru ini mengundang persoalan di kalangan tetamu yang hadir. Abby naik ke pentas untuk mengambil anugerah yang dimenangi oleh Norman bagi Kategori Artis Lelaki Bibir Seksi.
Abby AbadiAbby Abadi
Bukan itu sahaja, sebaik menerima anugerah tersebut, Abby juga sempat mengulas tentang kemenangan bekas suaminya itu. Menurut Abby, mungkin benar Norman memiliki bibir seksi kalau tidak masakan ramai yang meminati lelaki itu.
Tindakan Abby ini seolah-olah mengambarkan dia dan Norman sudah pun berbaik-baik semula dan tidak bermusuh seperti dahulu lagi. Bagi mendapatkan penjelasan, GUA menemui Abby sebaik sahaja majlis berakhir. Walaupun Abby ingin pulang segera untuk menjemput anaknya di sekolah, tetapi dia sudi meluangkan sedikit masa.
“Saya dan Norman biasa-biasa sahaja. Saya nampak dia cuba berbaik-baik dengan saya dan anak-anak. Jadi, saya pun tidak ada masalah dengan dia. Dia pun selalu datang ke rumah untuk jumpa anak-anak.
Saya naik ke pentas tadi bukan kerana dia suruh saya wakilkan, tetapi ia berlaku secara spontan. Apabila saya tahu dia tidak hadir, saya terus naik ke pentas untuk ambil anugerah yang dia menang,” jelas Abby.
Apabila ditanya sama ada dia sudah memaafkan Norman, Abby tidak mahu mengulas lanjut. Malah, dia nampak kurang selesa dengan pertanyaan GUA itu. “Saya tidak mahu panjang-panjangkan pasal Norman. Cukuplah dengan apa yang saya pernah saya katakan sebelum ini,” ujar Abby ringkas.
Dalam masa yang sama, pelakon yang digosipkan bercinta dengan Zul Ariffin ini juga tidak mahu memberi sebarang komen tentang Norman dan Memey yang sedang merancang untuk berkahwin. “Saya tak nak campur pasal Norman dan Memey,” ujar Abby dalam nada tegas.
Mungkin nyanyi semula
Menyentuh tentang kerjaya Abby, ibu kepada tiga cahaya mata ini masih sibuk dengan jadual lakonannya. Sehingga kini, Abby masih lagi membintangi drama bersiri ‘Gerak Khas’ yang disiarkan melalui saluran RTM.
Dalam masa yang sama, Abby juga mendedahkan yang dia sedia untuk menyanyi semula sekiranya ada pihak yang sudi memberi peluang. “Sebelum ini memang ada yang buat tawaran, tetapi mereka tidak serius. Kalau saya dapat menyanyi semula, saya ingin buat album yang menampilkan konsep yang segar, sesuai dengan citarasa muzik terkini,” jelas Abby mengakhiri perbualan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.