LONDON 10 April - Bapa pemain Chelsea yang juga bekas ketua pasukan England, John Terry dituduh terlibat dalam penjualan kokain, kata pihak polis dan media hari ini.
Ted Terry, 55, akan dihadapkan di mahkamah bulan depan, iaitu satu lagi perkembangan terbaru dalam kehidupan peribadi anaknya dalam tempoh beberapa minggu ini.
Atas sebab-sebab polisi, polis Essex tidak mengesahkan bahawa Ted Terry didakwa tetapi mereka mengeluarkan kenyataan apabila ditanya mengenai kes tersebut.
"Seorang lelaki berusia 55 tahun dari Chafford Hundred telah ditahan atas dakwaan membekalkan kokain, iaitu dadah kelas A, dan dia akan dihadapkan ke mahkamah majistret Basildon 13 Mei ini," kata seorang jurucakap wanita.
John Terry sebelum ini terlibat dalam skandal dengan Vanessa Perroncel, bekas teman wanita rakan sepasukan England yang juga sahabat baiknya, Wayne Bridge awal tahun ini, yang dihebohkan oleh pihak media.
Beliau dilucutkan sebagai ketua pasukan England oleh ketua jurulatih Fabio Capello tetapi pemain pertahanan itu dijangka akan bersama pasukan England ke Piala Dunia di Afrika Selatan yang akan bermula Jun ini. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.