Ahad, 25 April 2010

Belum sedia kahwin

HUBUNGAN pasangan Norman Hakim dan Memey Suhaiza tidak lagi cuba disorok. Apa lagi dengan gandingan mereka pada sesi fotografi di studio Utusan, Rabu lalu, jelas menunjukkan mereka sedang hangat bercinta.

Manakan tidak, ketika sesi fotografi dijalankan, Memey dikehendaki memberi aksi menarik secara solo dan mood Memey dalam fotonya tidak seperti yang dikehendaki jurufoto kami, Djohan. Bagaimanapun, setelah Norman muncul dan digandingkan bersama, barulah Memey mendapat mood dan lebih ligat beraksi.

Waktu itu, mereka menjadi bahan gurauan oleh orang sekeliling yang berada di studio. Agak sporting, Norman dan Memey memberi kerjasama yang baik sekali. Cuma, sekali sekala, Memey kelihatan malu-malu apabila diminta memandang mata Norman dengan memberi mimik muka garang.

"Mey tak pandai buat muka garang," seloroh Memey sambil tergelak-gelak apabila memandang wajah Norman.

Akui Norman, secara rasminya, hubungan cinta mereka sudah hampir mencecah setahun. Walaupun ramai yang tahu akan perhubungan tersebut, pasangan ini mula berani untuk menunjukkan kemesraan dengan memegang tangan masing-masing pada Anugerah Bintang Popular 2009 (ABP) yang diadakan awal April lalu.

Sejak itu, hampir setiap hari kisah mereka terpampang di dada-dada akhbar untuk mendapatkan penjelasan cinta dan tarikh perkahwinan yang dikhabarkan akan berlangsung Julai ini.

Sehinggakan, kenyataan yang diberi berbeza-beza. Memey menyatakan, Norman telah melamarnya. Manakala Norman pula berkata lamaran itu hanya sekadar gurauan sahaja.

"Saya pelik, hanya kerana satu gambar kami yang sedang berpegangan tangan, orang telah mengandaikan yang kami sudah bersedia untuk berkahwin.

"Bila media gagal menghubungi saya, mereka mendapatkan penjelasan Memey dulu. Sebenarnya, waktu saya dan Memey diberikan watak sepasang kekasih bagi tele-filem Tarikh Kematian, Erma Fatima (pengarah) kerap mengusik kami dan saya pun cakap pada Memey, kahwin nak? Itu saja," jelas Norman.

Sambil mengambil gambar bersama menggunakan telefon bimbit Blackberry, Memey pula mencelah: "Tapi dalam kenyataan itu, saya ada kata yang pertanyaan Norman itu sebagai gurauan sahaja."

Apa pun, kata mereka, hal itu bukanlah satu isu yang besar kerana masing-masing belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.

Fobia nak kahwin

Menjadi seorang lelaki yang pernah menempuh alam berumah tangga, Norman akui, mahukan seorang wanita yang memahami dirinya agar pisang tidak berbuah dua kali.

Ditambah pula dengan memiliki karakter lelaki ego dan cepat naik angin, akui Norman, Memey umpama air yang hadir menyejukkan dirinya dan kerana ciri utama itulah, Norman selesa berada di sisi pelakon Roda-Roda Kuala Lumpur itu.

"Dalam perhubungan seseorang ia umpama magnet. Jika seorang api, seorang lagi perlu menjadi air. Saya tak kata yang diri saya ini adalah 'api'. Tapi, kadang kala tenaga saya mudah naik sehingga menimbulkan kemarahan.

"Tapi, kerana pembawakan diri Memey, dari marah terus jadi tak marah. Bagi saya, Memey seorang penjinak, dia pun mempunyai pemahaman yang tinggi tentang saya. Setakat ini, tiada orang lain dalam hati saya selain Memey.

"Lagipun, dengan usia saya sebegini masa untuk mengurat sudah berlalu. Saya cuma inginkan wanita yang faham saya, dan saya pula memahami wanita itu kerana 'kolaborasi' itu saya percaya boleh dibawa sehingga akhir hayat," ujarnya.

Walaupun mereka kerap kali dikritik dan ada yang memaksa mereka menamatkan perhubungan mereka dengan berkahwin, kedua-duanya menganggap ia sebuah pendapat yang perlu didengar sebagai seorang selebriti.

Cuma, pengalaman perkahwinannya yang lalu membuatkan perasaan Norman sedikit fobia untuk berkahwin. Tetapi ini tidak bermakna ia menjadi penyebab Norman dan Memey untuk berkahwin awal.

"Saya akui, perasaan itu (fobia) sedikit sebanyak terpalit juga di hati. Lelaki mempunyai egonya tersendiri tetapi jangan membuat sampai terasa tercabar sehingga memperkontang-kantingkan maruah.

"Kalau boleh, saya mahu cinta kami sampai ke hujung nyawa. Saya pun kena faham Memey. Dia masih muda dan tak pernah menempuhi benda yang saya lalui. Kiranya saya belajar sebuah kehidupan itu secara praktikal dan Memey pula belajar secara teori.

"Apa pun, saya berserah kepada Allah. Jika karma saya adalah perkahwinan yang menjadi jalan terbaik, saya minta bukalah jalan itu seluas-luasnya untuk kami. Lagipun, niat untuk mendirikan rumah tangga sudah ada.

"Alhamdulillah, dalam kehidupan, saya diberikan rezeki yang cukup dan anak-anak juga sihat. Cuma sekarang ini, tinggal diri saya saja lagi untuk diberi kebahagiaan (kahwin)," ujarnya yang enggan memberi Memey meneruskan kerjaya lakonan jika dijodohkan bersama.

Kuat cemburu

Ketika menemubual Memey mengenai perwatakan Norman pula, sempat lagi dia meminta Norman untuk pergi jauh agar tidak mendengar perbualannya dengan penulis.

"Pergilah duduk luar. Malulah nak cakap," selorohnya.


MEMEY memberitahu Norman seorang yang kuat cemburu.

Kata Memey, dia seorang yang sangat pemalu dan tidak tahu marah. Sebab itu, bila timbulnya perselisihan faham, biasanya Norman akan lebih banyak bercakap berbanding dengan dirinya yang lebih senang untuk berdiam diri.

"Sebenarnya, kerana karakter Mey yang tidak tahu marah membuatkan hubungan kami lebih mudah. Abang (Norman) seorang lelaki yang sukar untuk difahami. Mey pun masih lagi belajar mengenali hati budinya.

"Bila mengenali Abang lebih lama, dia seorang yang sangat istimewa. Oleh kerana kita tahu yang Abang cepat naik angin, kita kena belajar mengambil hatinya agar dia jadi cepat sejuk.

"Abang tak suka orang melawan. Selalunya, kalau abang marah, Mey diam saja dan biar kemarahannya itu tergantung. Bila dah reda, barulah kami berbincang bersama. Memang kadang-kala itu, rasa sakit hati. Maklumlah, kita tak pandai nak melawan dan marah balik.

"Dari kecil lagi Mey tak pernah melawan. Kalau geram sangat pun, Mey akan menangis. Sebab itu orang panggil kita Memey yang bermaksud kuat menangis," seloroh Memey sambil membuang solekannya.

Tambahnya, sepanjang perhubungan cinta yang dijalin, mereka jarang bergaduh. Malah, sikap Norman yang berterus terang membuatkan Memey lebih memahami Norman.

Bagaimanapun, kata Memey, biarpun Norman seorang yang pemarah, lelaki itu juga cepat tenang dan mudah lupa dengan perselisihan yang telah berlaku. Malah baginya, dia terasa selamat bila berada di sisi buah hatinya itu.

"Kalau nak tahu, dia juga seorang yang kuat cemburu. Sebab itu bila mendapat tawaran lakonan, Mey akan berbincang dengan dia dulu, lebih-lebih lagi bila mempunyai babak cinta. Bila dah tahu dia macam itu, kena beritahu awal-awal, senang.

"Macam Mey pula seorang yang terbuka dan tak kisah kerana kalau boleh Mey tak mahu beri kongkongan kepadanya. Dia lelaki yang tidak suka dikawal, itu sifat dia. Mey pandang dari sudut yang positif kerana setiap manusia mempunyai karakter yang baik dan buruk, begitu juga dengan saya," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persediaannya untuk mendirikan rumah tangga, Memey akan bersedia jika sudah berpuas hati dengan kerjaya lakonannya serta berjaya membantu keluarganya ke tahap kehidupan yang lebih senang.

"Mey tak letak sebarang sasaran untuk kahwin kerana fokus Mey ialah kerjaya. Lagipun, Mey belum bersedia untuk berumah tangga. Banyak yang perlu dipelajari sebelum mahu menjadi isteri.

"Maklumlah, bila dah kahwin, komitmen isteri terhadap suami sangat tinggi. Sebelum kahwin, kita masih bebas untuk merancang masa depan.

"Andai kata kami dijodohkan bersama, Mey akan ikut saja kehendak abang walaupun dia mahu Mey berhenti daripada bidang lakonan," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.