KUALA LUMPUR : Semuanya dipercayai angkara cinta tiga segi. Seorang lelaki warga Indonesia sanggup menyembelih rakan senegaranya selepas mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya ketika menumpang di rumah mereka di Kampung Setia, Kuang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam, suspek seorang buruh berusia 26 tahun dikatakan telah menyembelih rakannya yang dikenali sebagai Makrus, 40, sehingga kepala mangsa hampir putus.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, selepas suspek mengesyaki hubungan mangsa dengan isterinya, dia telah melarikan keluarganya ke tempat lain dua hari lalu.
"Bagaimanapun semalam, suspek telah pulang ke rumah itu untuk membuat perhitungan dengan mangsa. Ketika itu, tercetus pertengkaran antara mereka berdua.
"Dalam pergaduhan itu, mangsa dikatakan ditetak berkali-kali di seluruh badan sebelum disembelih dengan sebilah parang sehinggakan terdapat kesan darah hampir di seluruh rumah itu," katanya selepas menyertai lawatan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ke Hospital Selayang sempena sambutan Ulang Tahun Peringatan Hari Polis Ke-203.
Abdul Rahim memberitahu, tindakan suspek memasang radio terlalu kuat ketika kejadian menyebabkan pergaduhan dan pembunuhan itu tidak didengar oleh jiran dan penduduk kampung berkenaan.
Bagaimanapun, menurutnya, tindakan suspek mencuci kesan tompokan darah di dalam rumahnya dalam keadaan tergesa-gesa, disedari penduduk kampung itu yang kemudian cuba menahannya.
"Semasa penduduk cuba menahan suspek, dia telah melarikan diri mengikut pintu belakang.
"Mayat mangsa kemudian ditemui dalam keadaan tragis di dalam bilik air rumah berkenaan," ujarnya.
Beliau menambah, polis kini sedang memburu suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, butiran suspek dan keluarganya telah diperoleh melalui jiran mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.