Khamis, 29 April 2010

Daphne Muak Isu Seksi?

Melihat penampilan Daphne Iking dalam filem Belukar membuatkan GUA tertanya-tanya, adakah pelakon jelita ini tidak bimbang dikritik oleh penonton nanti? Ini kerana ibu beranak satu ini nampak cukup seksi sepanjang filem itu berjalan. Mungkin ‘seksi’ tidak menjadi masalah kepada Daphne, tetapi memandangkan filem itu akan ditonton oleh ramai orang Melayu, penampilan Daphne yang seksi itu pasti akan mendapat pelbagai respon.

Menjawab persoalan itu, Daphne menjelaskan dia sebenarnya sudah menjangka perkara tersebut akan ditimbulkan. Walau bagaimanapun, dia masih berfikiran positif dan menganggap imej seksi yang ditampilkan dalam Belukar adalah keperluan untuk watak Eva. “Sebenar saya sudah banyak kali terkena dengan isu seksi ini. Ada sahaja pihak yang cuba mensensasikannya. Malah, ada juga gambar-gambar peribadi saya menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab dengan mengedarkannya di blog-blog hiburan yang ada sekarang ini. Sudahlah mengedarkan gambar tanpa kebenaran, mereka kutuk pula gambar-gambar tersebut. Kononnya saya over seksi dan macam-macam lagi. Jadi, bolehlah dikatakan saya sudah lali dengan isu ini.
Mengenai lakonan seksi saya dalam Belukar, saya hanya mengikut skrip. Watak Eva adalah begitu dan saya lakukannya demi menjayakan watak itu. Saya bukan suka-suka hendak berlakon seksi,” jelas Daphne dengan nada tegas. Bercerita lanjut tentang lakonannya sebagai heroin Belukar, Daphne memberitahu bukan mudah untuk dia melakonkan watak Eva. Oleh kerana ini kali pertama dia memegang watak heroin, Daphne berasa sedikit bimbang dengan percubaan pertamanya itu. Malah, Daphne juga mengaku dia agak malu melihat lakonannya sendiri.


“Bukan mudah membawakan watak Eva. Mungkin penonton nampak biasa sahaja. Tetapi ia sebenarnya memenatkan. Saya perlu lakonankan sendiri aksi-aksi yang susah. Contohnya adegan di mana Eva terjun ke laut dari jeti. Adegan itu memang susah dan cukup mendebarkan. Jeti itu bukannya rendah tetapi tinggi. Oleh kerana Jason mahu saya lakukan sendiri, saya buat juga sehingga Jason dapat shot yang dia mahu. Selain itu, ada juga adegan yang memerlukan saya berlawan. Semua itu saya buat sendiri. Sebab itu saya kata memenatkan,” ulas Daphne yang pertama kali berlakon disamping Bront Palare.

Ditanya apakah adegan yang paling sukar untuk dilakonkan, Daphne tanpa banyak berfikir terus mengatakan adegan di dalam bilik air bersama Bront adalah yang paling susah. “Saya akui susah hendak menjiwai watak untuk adegan di bilik air itu. Saya rasa kurang selesa kerana perlu berada begitu hampir dengan lelaki yang sama sekali tidak ada sebarang hubungan dengan saya. Susah hendak jadi romantik. Apabila saya sudah bersedia, Bront pula sebaliknya. Akibatnya, untuk adegan ini sahaja saya perlu ulang sebanyak enam kali. Mujurlah Jason memahami. Bront pula asyik gelakkan saya,” cerita Daphne.

Walaupun berasa penat dan sukar untuk menjayakan watak Eva, tetapi pelakon jelita ini sebenarnya amat menyukai watak Eva kerana watak itu mengingatkannya kembali saat-saat dia berada di kampung halaman dahulu. “Memang Eva digambarkan sebagai seorang yang jahat, tetapi sebenarnya dia hanyalah orang kampung yang jatuh hati kepada seorang lelaki. Semua tindakan yang dia lakukan ada sebabnya dan penonton akan memahaminya di akhir cerita. Saya suka dengan watak Eva sebab suatu ketika dahulu saya pernah menjalani kehidupan di kampung seperti Eva,” ujar Daphne.

Nafi jalin hubungan istimewa dengan suami Amber Chia
Beberapa minggu lalu, tiba-tiba muncul gosip yang mengatakan Daphne sedang bermain cinta dengan suami kepada Amber Chia. Gosip ini amat mengejutkan kerana Daphne diketahui bersahabat baik dengan Amber. Malah, Daphne juga telah diundang ke majlis perkahwinan Amber dan suaminya di Bali pada Mac lalu. Jadi, mengapa tiba-tiba Daphne dikaitkan dengan lelaki yang sudah bergelar suami kepada Amber Chia itu?

“Saya pun tidak tahu macamana gosip ini boleh tersebar. Tidak mungkin saya akan menjalin hubungan dengan suami sahabat baik saya sendiri. Dia adalah pengurus saya dan dia juga akan menjadi rakan perniagaan saya pada masa depan. Jadi, jangan mudah percaya dengan gosip tidak berasas ini,” jelas Daphne tegas.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.