Kisah artis suntik botox bukanlah perkara luar biasa dalam industri hiburan tanah air, malah sudah ada segelintir daripada mereka mengaku ada mengambil suntikan itu untuk kelihatan lebih cantik.
Terbaru, timbul pula khabar angin mendakwa pelakon dan penyanyi jelita, Marsha Londoh menggunakan suntikan botox untuk meruncingkan bahagian dagunya.
Bagaimanapun, Marsha yang ditemui ketika pelancaran drama K.I.T.A Carefree di sebuah restoran di ibu kota menafikan berita itu.
Kata Marsha, dia tidak tahu bagaimanapun perkara itu boleh tersebar sedangkan dia tidak pernah menggunakan kaedah berkenaan.
“Sampai sekarang, saya masih tertanya-tanya macam mana cerita ini boleh timbul sedangkan saya tak pernah buat dagu tetapi mungkin kerana badan saya agak berisi menyebabkan dagu saya berubah.
"Tapi saya tak nak fikirlah sangat perkara ini sebab ia hanyalah khabar angin semata-mata,” kata Marsha yang lebih suka mengekalkan kecantikan semula jadi daripada berhabis wang untuk tampil cantik segera.
Sering terima watak gedik
Beralih tentang lakonannya dalam drama K.I.T.A Carefree, Marsha membawakan watak Ilma, seorang selebriti ternama yang mengalami konflik dengan orang tuanya.
Tidak dapat lari daripada karakternya sebelum ini, Marsha masih membawakan watak yang ‘gedik’ dan juga ‘player’.
Meskipun sering diberi watak sedemikian, Marsha tidak pernah mengeluh, sebaliknya menganggap itu sebagai rezekinya untuk terus mengembangkan bakat dalam lakonan.
Malah artis kelahiran Sabah ini sudah kalis dengan persepsi sesetengah pihak yang menyamakannya dengan karakter yang dilakonkannya.
“Sebenarnya, saya pernah menolak drama ini, bukan kerana wataknya, tapi kerana ketika itu saya terikat dengan penggambaran drama bersiri Hotel Mania.
"Bila saya lihat semula jadual, saya sedia terima semula tawaran dan lagipun saya suka bekerjasama dengan pengarahnya, Micheal Ang,” katanya yang membintangi drama itu di samping Scha Al-Yahya, Dawn Jeremiah dan Wani Omar.
K.I.T.A Carefree bersiaran setiap hari Isnin, jam 10.00 malam, bermula 5 April menerusi saluran 104.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.