Norman Hakim dan wakil Peguam Syarie,Irsamuddin Ikhsan selepas perbicaraan kes khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menegur pihak pembelaan kes khalwat Memey Suhaiza dan Norman Hakim kerana sering mengakibatkan prosiding tertangguh.
Hakim Syarie Wan Mahiyuddin Wan Muhammad ketika menamatkan prosiding berkata, tiga prosiding lepas terpaksa ditangguhkan atas pelbagai masalah teknikal termasuk hari ini kerana peguam kedua-dua pelakon berkenaan gagal hadir kerana sakit.
"Harap persiapan rapi dibuat selepas ini untuk menyelesaikan kes dalam kadar munasabah (dan) supaya sebarang masalah teknikal dapat diatasi dengan baik.
"Pihak pendakwa juga perlu menyusun jadual agar soal jawab melibatkan saksi dapat diselesaikan pada perbicaraan bermula pagi sehingga petang," katanya.
Norman Hakim atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan pelakon baru Memey atau Suhaizah Suhaimi, 21, yang biasanya diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan digantikan dengan wakilnya, Irsamuddin Ikhsan.
Kedua-duanya didakwa berkhalwat di pejabat Mdh Global Network Sdn. Bhd. 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pukul 3 pagi pada 30 Oktober 2008.
Sebelum itu, perbicaraan bermula pukul 9 pagi dengan mendengar keterangan saksi kes yang juga abang kepada Norman, Mohd Sophee Zaidun.
Ketika menjawab pertanyaan pendakwa, Mohd Sophee berkata, Memey ada cuba menghubungi Norman selaku pengurus dan pemilik syarikat untuk mengadu tentang bunyi bising di luar pintu tetapi panggilan itu tidak berjaya disambungkan.
"Setahu saya, tertuduh kedua (Memey) ada cuba hubungi Norman tapi tak dapat, jadi dia hubungi saya.
"Sebaik tiba di tingkat dua pejabat itu barulah saya tahu Norman berada di pejabat, dakwanya hendak berehat selepas menghantar Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Amiruddin Razak pulang ke rumahnya di Wangsa Maju," kata Mohd Sophee.
Pendakwa Siti Fatimah Ahmad Maulana seterusnya bertanya, adakah kebiasaan bagi syarikat itu membenarkan pekerjanya tidur di pejabat.
"Tidak," jawab Mohd Sophee. "Tapi kami semua menasihatinya (Memey) agar tidur sahaja di pejabat kerana sudah larut malam dan kami bimbang keselamatannya jika pulang berseorangan ke rumahnya di Selayang."
Hakim Wan Mahiyuddin menetapkan tarikh 14 Mei ini untuk mendengar soal balas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.