GOMBAK: Tidak ubah seperti manusia bertopengkan syaitan apabila seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di sini, cuba memuaskan nafsu gilanya dengan menjadikan seorang murid tahun satu sebagai mangsa cabul dalam tandas sekolah berkenaan.
Suspek yang layak dipanggil datuk berikutan usianya mencecah 64 tahun menarik mangsa ke dalam tandas sekolah sebelum meraba dan mencabul kemaluan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.
Namun perbuatan jijik dilakukan lelaki tidak sedar diri itu terbongkar selepas kanak-kanak perempuan terbabit menceritakan insiden hitam dialami kepada ibunya sejurus pulang dari sekolah, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintanden Rosly Hassan, berkata ibu kanak-kanak berkenaan yang berusia 32 tahun yang tinggal di Bandar Tasik Puteri, Rawang, dekat sini, membuat aduan polis pada jam 12.35 tengah hari kelmarin mendakwa anak perempuannya dicabul ketika berada di sekolah.
“Dalam laporannya, ibu itu mendakwa dia diberitahu anaknya bahawa pengawal keselamatan terbabit menghalang kanak-kanak berkenaan ketika mangsa ingin keluar dari tandas sekolah. Murid perempuan itu ditarik masuk ke dalam tandas sebelum dicabul pengawal keselamatan terbabit.
“Difahamkan, pengawal terbabit mengangkat mangsa ke atas sinki dalam tandas itu sebelum menyelak seragam sekolah dan mencabul kanak-kanak itu,” katanya.
Menurutnya, suspek bagaimanapun hanya mencabul mangsa dan tidak memperkosa kanak-kanak itu sebelum melepaskannya beberapa minit kemudian.
“Difahamkan, murid itu yang ketakutan segera mengadu kepada ibunya sejurus pulang dari sekolah sebelum perkara itu dilaporkan kepada pihak sekolah dan polis.
“Saya difahamkan, pihak sekolah dan keluarga mangsa berbincang berhubung kejadian itu semalam (kelmarin), namun suspek yang menyedari perbuatannya terbongkar melarikan diri dan gagal dikesan,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu, guru besar sekolah jenis kebangsaan Cina itu turut membuat laporan polis pada jam 8.30 pagi semalam, berhubung salah laku pengawal terbabit.
Ditanya sama ada terdapat mangsa lain yang pernah dicabul suspek, Rosly memberitahu pihaknya masih menyiasat dan mengambil keterangan daripada pihak sekolah berhubung identiti suspek.
“Saya dimaklumkan sekolah itu hanya mempunyai seorang pengawal keselamatan dan suspek pengawal keselamatan sementara yang bertugas di sekolah berkenaan.
Susulan laporan itu, polis berusaha menjejaki suspek dengan mengunjungi rumahnya di Bukit Nenas, Batu Arang, namun suspek sudah melarikan diri,” katanya ketika ditemui,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.