Selasa, 27 April 2010

Kaya kerana buku, filem Harry Potter

LONDON: Kuasa magis Harry Potter membolehkan pengarang buku dan pelakon filemnya meraih lebih 600 juta paun (RM3 bilion) secara keseluruhannya.
Novelis, JK Rowling dilaporkan meraih kekayaan peribadi mencecah 519 juta paun (RM2.5 bilion) menerusi siri buku itu, menjadikannya pengarang paling kaya di dunia ketika ini, menurut Senarai Orang Paling Kaya Britain yang dikeluarkan akhbar Sunday Times.

Daniel Radcliffe, 20, yang membintangi filem adaptasi daripada buku JK, disenaraikan sebagai warga muda Britain kelima paling kaya dengan jumlah harta sebanyak 42 juta paun (RM207 juta).

Ia meletakkan dirinya di tangga lebih atas berbanding Putera William dan Harry yang menduduki tempat ke tujuh dengan harta peribadi masing-masing berjumlah 28 juta paun (RM137 juta) dalam kategori 30 tahun dan ke bawah senarai itu.

Emma Watson, 20, yang memegang watak Hermione Granger dalam filem Harry Potter, disenaraikan ditangga ke sepuluh dengan harta berjumlah 22 juta paun (RM108 juta).

Rakannya dalam filem berkenaan, Rupert Grint, 21, yang memegang watak Ronald Weasley pula menduduki tangga ke-12 dengan jumlah harta sebanyak 20 juta paun (RM98 juta).

Sementara itu, Robert Pattinson, 23, yang memainkan peranan sebagai Cedric Dighisgory dalam filem Harry Potter and the Goblet of Fire yang diterbitkan pada 2005, berada di tangga ke-14 dengan harta berjumlah 13 juta paun (RM64 juta).

Semua bintang Harry Potter itu mengalahkan penyanyi, Leona Lewis, Charlotte Church dan Cheryl Cole yang masing-masing berkongsi tangga ke-16 dan 20 dalam senarai Warga Muda Britain Paling Kaya.

Senarai utama yang dikeluarkan akhbar itu juga menunjukkan pencapaian golongan kaya United Kingdom sepanjang 12 bulan lalu walaupun Britain bergelut menghadapi pemulihan ekonomi yang rapuh.

Dalam tempoh setahun sahaja, kekayaan keseluruhan 1,000 orang paling kaya negara itu meningkat sebanyak 30 peratus dan kekayaan mereka meningkat lebih 77 bilion paun (RM379 bilion) kepada 333.5 bilion paun (RM1.64 trilion), peningkatan tahunan terbesar dalam sejarah 22 tahun senarai itu.

Jumlah bilionair juga meningkat seramai 10 orang kepada 53 dengan hartawan keluli, Lakshmi Mittal terus berada di tangga teratas selama enam tahun berturut-turut dengan hartanya dianggar berjumlah 22,450 bilion paun (RM110 bilion). - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.