LONDON - Seorang pelancong yang berusia 17 tahun meninggal dunia selepas dia menghadiri sebuah parti di kelab malam Whisky Mist, London iaitu lokasi seorang pemain kelab Manchester United, Wayne Rooney meraikan kejayaannya selepas mendapat anugerah pemain terbaik, lapor sebuah akhbar semalam.
Rooney dinobatkan menjadi pemain terbaik sepanjang tahun oleh Persatuan Bola Sepak Profesional England (PFA).
Pelancong asing itu yang berasal dari Lisbon, Portugal pengsan di dalam kelab malam tersebut pada pukul 1.20 pagi waktu tempatan dekat kelab malam berkenaan.
Dia dihantar ke sebuah hospital di pusat bandar London dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kemudian didapati meninggal dunia.
Seorang lelaki lain ditangkap polis kerana disyaki membekalkan sejenis dadah kelas A.
Sebuah kumpulan paramedik bertungkus-lumus cuba menyelamatkan nyawa pelancong tersebut yang dijumpai terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di kaki lima sebatang jalan di luar kelab malam berkenaan.
Pada pagi semalam, keadaan kawasan di kelab malam itu masih disita polis.
Rooney berada di kelab itu bersama abangnya Graeme dan pemain pasukan bola sepak England, Ashley Cole selepas dia mendapat anugerah pemain terbaik.
Beberapa pengawal keselamatan kemudiannya mengawal Rooney semasa dia keluar dari kelab malam tersebut.
Rooney kelihatan kebingungan ekoran kekecohan yang berlaku di luar kelab tersebut semasa dia meninggalkan kelab tersebut.
Namun, jurucakap pemain kelab Manchester United itu mendakwa, Rooney tidak mengetahui mengenai insiden yang berlaku di kelab berkenaan.
Jurucakap itu berkata: "Semasa Rooney sedang meninggalkan kelab tersebut, dia turut ditanya oleh beberapa pengunjung lain sama ada dia melihat kejadian yang telah berlaku itu.
"Dia memberitahu polis bahawa dia tidak melihat apa-apa dan tidak sedar mengenai insiden yang berlaku."
Kelab Whisky Mist yang dibuka pada 2008 itu terletak di Hilton di dalam Taman Park Lane.
Polis didapati sedang menemu bual seorang lelaki muda di luar kawasan kelab selepas insiden berlaku.
Lelaki yang tidak didedahkan identiti itu kemudian digari dan dibawa ke tempat duduk belakang sebuah van polis.
Polis berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun ditangkap pagi semalam di kawasan kelab itu kerana disyaki membekalkan dadah kelas A yang dipercayai kokain.
Pada tahun lalu, Puteri Beatrice dan Puteri Eugenie turut membawa ibu mereka, Sarah Ferguson ke bar kelab itu selepas menghadiri sebuah tayangan filem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.