JITRA - Dia dihimpit peragut hingga jatuh motosikal dan patah kaki. Hasil yang mereka dapat daripada perbuatan kejam itu hanya RM5.
Tanpa sedikit pun rasa simpati, mangsa, Nurul Suhaila Abdul Wahab, 19, kemudiannya ditinggalkan mengerang kesakitan seorang diri dalam keadaan gelap gelita kira-kira jam 5.30 pagi Khamis lalu berhampiran Taman Tema Tasik Bandar Darulaman di sini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, :Superintendan Sawaluddin Hamenudin berkata, gadis malang berasal dari Kuala Nerang itu, diragut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Plaza Tol Jitra.
“Dia bekerja sebagai jurul tol, tinggal bersama abangnya di Taman Tunku Sarina. Mangsa melalui jalan itu setiap hari untuk ke tempat kerja. Awal pagi itu, dia diekori dua lelaki bermotosikal yang menghimpit motosikalnya hingga terjatuh di tepi jalan.
“Dalam keadaan dia mengerang kesakitan, mereka membuka tempat barang motosikalnya dan melarikan beg yang berisi RM5, telefon bimbit dan dokumen peribadi,” katanya.
Akibat kejadian itu, kata Sawaluddin, mangsa mengalami kecederaan serius patah kaki kanan akibat dihempap motosikal.
“Perbuatan mereka sangat kejam. Mangsa ditinggalkan kesakitan dalam keadaan gelap di tepi jalan,” katanya.
Sawaluddin berkata, Nurul Suhaila bagaimanapun bernasib baik kerana tidak lama selepas itu, sepasang suami isteri yang kebetulan melalui tempat kejadian, membantunya menghubungi ambulans.
“Dia kini masih dirawat di hospital,”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.