Selasa, 6 April 2010

Rumah Allahyarham Din Beramboi dipecah,aneh hanya tiga komputer riba dan lima jam berjenama yang hilang,barangan berharga,lain tidak diusik

KUALA LUMPUR: “Sampai hati mereka meragut kenangan yang ditinggalkan arwah kepada anak-anak. Pasti Allah akan membalas perbuatan dilakukan mereka,” kata balu Allahyarham Din Beramboi, Suhaini Che Man, 42, berhubung tindakan sekumpulan pencuri memecah masuk rumahnya, malam kelmarin.
DISAMUN...rumah Allahyarham Din Beramboi di Jalan Selasih Sari 8, Sungai Buaya, Rawang.
DISAMUN...rumah Allahyarham Din Beramboi di Jalan Selasih Sari 8, Sungai Buaya, Rawang.
Kejadian itu dianggap malang berganda bagi keluarga Allahyarham Din Beramboi atau nama sebenarnya Meor Ahmad Fuad Meor Badri, 43, apabila tidak hanya kehilangan insan tersayang, malah rumah turut dipecah masuk ketika ketiadaan balu dan tiga anaknya.

Suhaini yang dihubungi Harian Metro semalam berkata, tindakan penjenayah terbabit tidak ubah seperti binatang kerana mengambil kesempatan daripada musibah menimpa keluarganya.

“Perbuatan mereka tidak berperikemanusiaan langsung, apatah lagi dalam keadaan saya sekeluarga masih bersedih dengan pemergian arwah suami.

“Walaupun bersedih, sokongan ahli keluarga sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya dan anak-anak meneruskan hidup selepas ini,” katanya sebak.

Dalam kejadian antara jam 10.30 malam kelmarin hingga awal pagi semalam, penjenayah memecah pintu belakang rumah teres keluarga mangsa di Sungai Buaya, Rawang, sebelum melarikan pelbagai barangan berharga bernilai lebih RM20,000.

Difahamkan, penjenayah mengambil kesempatan selepas menyedari isteri dan anak-anak pelawak terbabit yang meninggal dunia lima hari lalu tiada di rumah berikutan menginap sementara di rumah keluarga terdekatnya di Kepong.

Adik Suhaini, Sarifuddin, 37, berkata kejadian hanya disedari jiran yang ingin memberi makan kepada beberapa ekor kucing peliharaan keluarga Allahyarham, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Menurutnya, jirannya berasa sesuatu tidak kena selepas mendapati pintu jeriji besi dapur rumah mangsa terbuka dan ada kesan umpilan.

“Dia juga mendapati pintu kayu pada dapur rumah mangsa dipecahkan penjenayah yang dipercayai menceroboh melalui bahagian belakang rumah,” katanya.

Menurutnya, isteri dan anak Din Beramboi, Nil Aina Adibah,18, Nil Ain Syuhada, 6, dan Mior Shafiq, 12, yang dimaklumkan kejadian itu terkejut apabila mendapati rumah mereka digeledah penjenayah dan beberapa barang berharga dilarikan.

“Antara barangan berharga dilarikan penjenayah tiga komputer riba dan lima jam berjenama milik Allahyarham.

“Bagaimanapun, agak aneh apabila penjenayah langsung tidak menyentuh barang berharga dan peribadi lain milik Din Beramboi seperti 10 gitar elektrik, set audio dan televisyen bernilai puluhan ribu ringgit,” katanya.

Menurutnya, hanya barang berharga di bilik Allahyarham dicuri manakala barang lain seperti barang kemas tidak diusik.

Sarifuddin berkata, arwah baru membeli sebuah gitar dan satu set audio lengkap bernilai puluhan ribu ringgit, namun peralatan itu tidak dilarikan penjenayah.

“Susulan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Kubu Bharu, tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor menghantar sepasukan anggota forensik ke tempat kejadian kira-kira jam 3 petang semalam.

Beliau berkata, seorang jiran mangsa sebelum ini turut memberitahu pernah melihat kelibat beberapa lelaki menaiki motosikal dan kereta berlegar-legar di kawasan perumahan berkenaan kira-kira jam 10 malam kelmarin dalam keadaan mencurigakan.

Difahamkan, rumah teres setingkat itu yang didiami keluarga Allahyarham sejak lapan tahun lalu tidak dihuni sejak Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang, 29 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan memberi jaminan akan melakukan siasatan terperinci.

“Polis masih menjalankan siasatan dan usaha memburu penjenayah sedang giat dilakukan,” katanya.

Din Beramboi meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang pada jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu selepas tiga hari dimasukkan ke hospital itu kerana demam denggi berdarah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.