Ahad, 25 April 2010

Vietnam nekad lari tak sanggup lacur diri

PUTRAJAYA: Keperitan hidup selepas dipaksa melayan kehendak seks pelanggan di pusat karaoke memaksa tiga wanita warga Vietnam nekad lari sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa, kelmarin.
Tindakan nekad tiga wanita berusia 19 hingga 31 tahun itu didedahkan Penolong Pengarah Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan, James Musa Singa, di sini, semalam.

Beliau berkata, wanita terbabit melarikan diri selepas selesai bekerja di sebuah pusat karaoke yang mereka sendiri tidak tahu lokasinya.

“Setiap hari mereka diambil dengan kenderaan sebelum dihantar ke pusat karaoke itu dan diambil selepas tamat waktu kerja.

“Bagaimanapun, disebabkan tidak tahan dengan kerja tidak bermoral, mereka pulang ke rumah dan mengambil barangan peribadi sebelum menahan teksi dan menyerah diri di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen, di sini, kira-kira jam 3.30 petang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Mengulas lanjut, beliau berkata, wanita yang tidak fasih berbahasa Inggeris serta dipercayai hilang arah tujuan itu dibawa pemandu teksi berkenaan ke Jabatan Imigresen. Katanya, siasatan awal mendapati wanita terbabit memasuki negara ini secara sah, tetapi ditipu rakan sebelum dipaksa menjadi pelayan pelanggan (GRO).


“Berdasarkan maklumat, mereka dijanjikan kerja sebagai pelayan, namun tidak menyangka perlu melayan kehendak seks pelanggan menyebabkan mereka melarikan diri,” katanya.


“Masalah komunikasi menyebabkan kita sukar mendapatkan maklumat lanjut termasuk lokasi tempat wanita terbabit bekerja kerana mereka diambil dan dihantar pulang oleh pemandu tertentu,” katanya. James berkata, tidak ada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh wanita terbabit ketika menyerah diri, tetapi mereka kelihatan letih.


Beliau berkata, susulan tindakan tiga wanita terbabit, pihaknya menahan tiga individu termasuk seorang lelaki tempatan dipercayai dalang kegiatan terbabit.

“Buat masa ini, penguat kuasa Jabatan Imigresen masih menjalankan intipan terhadap kumpulan terbabit dan menanti masa sesuai untuk melakukan serbuan.


“Kami menahan dua wanita warga Vietnam dan seorang lelaki tempatan dipercayai dalang pembabitan tiga wanita terbabit,” katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.