Sabtu, 22 Mei 2010

Syed Husin saman Utusan RM10 juta

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Syed Husin Ali memfailkan saman RM10 juta terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan dua yang lain kerana didakwa menyiarkan artikel bersifat memfitnah beliau pada Mac lalu.:

Saman difailkan melalui peguam, N Surendran di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Selain menamakan Utusan sebagai defendan pertama, Syed Husin turut menamakan editor akhbar arus perdana itu, Mohd Hassan Mohd Noor sebagai defendan kedua dan bekas Ketua Angkatan Muda Kedah (AMK), Zamil Ibrahim sebagai defendan ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Syed Husin selaku plaintif mendakwa akhbar itu menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya melalui artikel bertajuk 'RM500: Syed Husin dicabar lapor polis' pada 6 Mac lalu.

Syed Husin mendakwa artikel itu antara lain membawa maksud beliau bersalah dalam amalan rasuah, seorang ahli politik yang tidak jujur dan tidak layak sebagai seorang ahli Dewan Negara serta Timbalan Presiden PKR.


Beliau juga mendakwa laporan itu diterbitkan secara sensasi dan semua defendan mengetahui bahawa tuduhan-tuduhan itu tidak benar.

Selain menuntut ganti rugi RM10 juta, Syed Husin juga antara lain menuntut ganti rugi teladan dan memohon injunksi untuk menghalang semua defendan daripada terus menerbitkan kata-kata fitnah lisan dan libel serupa terhadapnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.