KETIKA jutaan peminat bola sepak di negara kita tidak tidur malam kerana ketagih menyaksikan siaran langsung Piala Dunia dari Afrika Selatan, pasukan polis kita bercekang mata dalam debaran.
Bukan berdebar sebab ingin mengetahui pasukan mana yang menang, tetapi terpaksa berjaga untuk mengesan judi haram bola sepak yang dikatakan semakin menjadi-jadi sejak sepakan pertama pada 11 Jun lalu.
Saya ucapkan syabas kepada polis yang sejak sehari dua ini telah menunjukkan kesungguhan dan kecekapan dalam memerangi judi haram. Setakat rencana ini ditulis beberapa orang dalang (bookie) judi bola telah ditangkap.
Antara yang ditangkap kerana berjudi bola secara haram ialah dua arkitek di ibu negara melibatkan pertaruhan RM5 juta, empat ditahan di Ipoh melibatkan pertaruhan RM2 juta, empat di Pulau Pinang, dan dua di Kuching, Sarawak.
Pendek kata RM berjuta-juta-juta dilaburkan secara haram menerusi judi bola sepak sepanjang Piala Dunia yang akan berlangsung selama sebulan itu. Banyaknya duit orang kita!
* TANGKAPAN beberapa orang bookie judi itu membuktikan andaian sesetengah pihak bahawa bola sepak dan juga lain-lain sukan mudah diseleweng dan dijadikan medan untuk orang-orang berduit, termasuk yang profesional, bertaruh secara haram.
Walaupun bukti sudah ada, rakyat terbanyak tidak akan menerima ini sebagai alasan untuk kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak kepada Ascot Sports Sdn Bhd. Tan Sri Vincent Tan kata jika lesen judi diluluskan, judi haram dapat diatasi.
Sebenarnya tidak ada jaminan bahawa meluluskan lesen akan menghentikan kegiatan judi haram. Kita sudah lesenkan judi Sport Toto dan Empat Nombor Ekor (ENE), tetapi yang haram masih banyak juga.
Kalau mengikut cakap Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, di negeri itu sekarang ada lebih 4,000 kedai judi haram. Ertinya meluluskan lesen bukan cara terbaik membanteras judi haram.
Saya masih percaya judi haram perlu diperangi habis-habisan dengan ketegasan dan kesungguhan penguatkuasaan undang-undang, tetapi bukan dengan meluluskan satu lagi lesen judi. Tertangkapnya bookie-bookie judi bola sepak itu membuktikan polis kita mampu bertindak.
* MASIH mengenai judi, semua negeri Pakatan Rakyat (PR), sama ada yang diketuai oleh Islam (Kelantan, Selangor, Kedah) atau bukan Islam (Pulau Pinang), sudah menyatakan pendirian menolak kelulusan lesen judi bola.
Ertinya, judi ditentang bukan sahaja oleh orang Melayu (Islam) tetapi juga oleh orang bukan Melayu. Rasanya kalau buat undian kepada seluruh rakyat negara ini, pasti lebih ramai yang menentang judi.
Sayang sekali selain NGO-NGO setakat ini yang menentang habis-habisan lesen judi bola sepak hanyalah parti-parti pembangkang, sedangkan parti-parti lain masih tidak bersuara dalam hal ini.
Setakat ini hanya UMNO Negeri Johor yang secara rasmi – dan berani – menyatakan tentangan terhadap lesen judi. UMNO negeri itu menegaskan sebarang bentuk judi perlu ditentang “kerana amalan itu bercanggah dengan hukum Islam.” Syabas UMNO Johor! UMNO negeri-negeri lain bagaimana?
* ADA isu yang lebih menarik daripada judi bola sepak. Tinjauan Merdeka Centre mendapati 72 peratus rakyat Malaysia kini berpuas hati dengan perkhidmatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Maka sudah ada cakap-cakap mengenai kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi. Baru tiga tahun kita habis berjuta-juta-juta ringgit untuk PRU-12, tiba-tiba hendak buat pula satu lagi pilihan raya umum. Tunggu, kasilah rakyat bernafas dulu!
Lagi pun macam yang PM sendiri kata, tarikh pilihan raya tidak boleh dibincangkan sekarang kerana tumpuan kerajaan kini adalah bekerja untuk rakyat dan memperkukuhkan parti terlebih dahulu.
Berilah peluang pada Najib dan teamnya untuk membuktikan keberkesanan idea-ideanya termasuk slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, konsep ‘1Malaysia’ dan sebagainya.
Jangan terikut-ikut sangat dengan cakap-cakap dan desakan sesetengah pihak supaya PRU-13 disegerakan. Rakyat pun masih letih dengan kerenah dan kempen-kempen beberapa pilihan raya kecil yang kita ada sebelum ini.
* WARGA kota, terutama di Kuala Lumpur, kena lebih berjimat. Jika tidak mereka akan tercungap dan sesak nafas untuk menampung hidup di bandar dengan pendapatan bulanan RM3,000.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan dan Kemudahan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, antara penjimatan yang patut dilakukan oleh orang bandar ialah dengan memotong beberapa bayaran, termasuk Astro.
Pada hemat saya, selain Astro, patut juga dipotong ialah penggunaan tiga atau empat telefon bimbit tercanggih yang bil bulanan mencecah ratusan ringgit. Potong juga bajet membeli-belah, makan di restoran. Hentikan kunjungan ke disko atau kelab dangdut.
Kalau orang bandar dengan pendapatan RM3,000 pun terasa susah untuk bernafas, bagaimana agaknya orang kampung dengan pendapatan tidak sampai seribu ringgit hendak menampung setengah dozen anak?
Dengan pendapatan tidak sampai RM1,000 itulah penoreh getah, pekebun kecil dan nelayan hendak membayar makanan, yuran sekolah anak, tambang bas sekolah. Ada murid tidak ke sekolah sebab tidak ada duit tambang bas!
Hari demi hari kita mendengar rintihan dan keluhan rakyat – baik di kampung mahu pun di bandar – mengenai kehidupan yang semakin sempit.
* AKHIR kalam, tentulah sesuatu yang tidak kena, ketika rakyat mengeluh dan merintih tidak cukup duit untuk menampung hidup tiba-tiba kita mendengar cadangan untuk membina bangunan Parlimen baru di Putrajaya dengan biaya RM800 juta.
Konon bangunan Parlimen yang ada sekarang sudah tidak sesuai, jika hendak dibaikpulih akan menelan belanja besar juga. Sebab itu perlu ada bangunan baru. Atau, satu cadangan lagi ialah menjadikan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya sekarang sebagai Parlimen baru.
Apa pun semuanya masih di peringkat cadangan. “Masih belum ada apa-apa keputusan. Kabinet bulan lalu cuma meminta JKR menyediakan cadangan dalam tempoh tiga bulan,” kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.
Ada baik juga difikirkan beribu-ribu kali sebelum dengan mudah kita meluluskan cadangan bina bangunan Parlimen baru. RM800 juta bukan sedikit, boleh disalurkan untuk banyak lagi projek rakyat. Dahulukan rakyat, utamakan pencapaian! - TOK PERAK

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.