Sabtu, 17 Julai 2010

27 korban serangan bom di masjid Iran

TEHERAN 16 Julai - Sekurang-kurangnya 27 orang termasuk anggota pasukan elit Pengawal Revolusi terbunuh, manakala 270 lagi cedera dalam dua serangan pengebom berani mati di sebuah masjid utama Syiah di bandar Zahedan, tenggara Iran malam tadi.

Kumpulan pemberontak Sunah, Jundollah mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan tersebut dalam kiriman e-mel kepada stesen televisyen Al Arabiyeh.

Kata Jundollah, serangan itu dilancarkan bagi membalas dendam terhadap tindakan Iran melaksanakan hukuman mati ke atas pemimpin mereka, Abdolmalek Rigi pada bulan lepas.

Rigi menjalani hukuman gantung selepas didapati bersalah melancarkan beberapa serangan maut.

Jundollah mendakwa ia memperjuangkan hak-hak masyarakat Sunah yang menjadi minoriti di Iran.

Dua letupan itu berlaku dekat Masjid Besar Zahedan dalam serangan yang didakwa oleh Jundollah dilaksanakan oleh ahli keluarga Rigi dan disasarkan terhadap satu perhimpunan Pengawal Revolusi.

"Kumpulan itu mendakwa pengebom berani mati dalam serangan itu ialah Abdolbaset Rigi dan Mohammed Rigi dan memberi amaran beberapa serangan akan dilancarkan lagi," lapor Al Arabiyeh.

Iran menangkap Rigi pada Februari lalu, empat bulan selepas Jundollah mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan bom yang membunuh berpuluh-puluh orang, termasuk 15 anggota Pengawal Revolusi.

Zahedan ialah ibu kota wilayah Sistan-Baluchistan yang bersempadan dengan Pakistan.

Iran mendakwa Jundollah menjalinkan hubungan dengan al-Qaeda dan menuduh Pakistan, Britain dan Amerika Syarikat (AS) menyokong pemberontak itu untuk mencetuskan ketidakstabilan di tenggara Iran. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.