KUALA LUMPUR - Polis memberkas sepasang kekasih kerana terlibat dalam kegiatan pecah rumah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan 15, Selayang Baru, Batu Caves, dekat sini awal pagi tadi.
Suspek lelaki berusia 34 tahun dan teman wanitanya berusia 22 tahun itu ditahan dalam 'Ops Cantas' oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pukul 1 pagi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika diserbu, pasangan kekasih terbabit tinggal berdua-duaan di rumah berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan di sebuah bilik di rumah itu menemui pelbagai jenis barang, dipercayai hasil samun.
"Antara barang yang ditemui adalah sejumlah aksesori perhiasan tiruan termasuk cincin dan rantai leher, barang kemas dihiasi batu permata seperti jed, kamera digital serta enam unit telefon bimbit pelbagai jenama.
"Turut dirampas enam utas jam tangan iaitu dua jenama Rolex dan masing-masing seutas jam berjenama Quarts, Polo Club, Fendi dan Profesional," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.