Jumaat, 17 Disember 2010

Bercumbu bawah Jambatan Banting


BANTING: Tempat awam seperti laluan pejalan kaki atau taman rekreasi disediakan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai, tetapi ia akan menimbulkan perasaan kurang senang jika lokasi terbabit menjadi tempat perlakuan tidak bermoral dan lucah.

Keadaan ini berlaku di taman berdekatan laluan pusingan U di bawah Jambatan Banting di sini yang sepatutnya menjadi tempat riadah yang selesa kerana terletak di tebing Sungai Langat, tetapi tercemar dengan tindakan pasangan memadu kasih tanpa segan silu pada waktu siang.

Pengunjung taman itu, Noraini Maarof, 37, berkata tindakan anak muda berkelakuan tidak senonoh itu menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan orang ramai, malah perlakuan mereka di tempat awam tanpa malu walaupun secara terang-terangan sudah tertera larangan pada papan tanda di situ.
Beliau berkata, tindakan itu jika dibiar berterusan boleh memberi pengaruh tidak baik kepada kanak-kanak yang beriadah di kawasan berkenaan.

"Saya malu melihat pasangan muda memadu kasih di kawasan ini tanpa memikirkan pengunjung yang datang berkeluarga membawa anak bermain di kawasan ini.

"Pihak berkuasa perlu tegas dan lebih kerap mengadakan rondaan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada sebarang perbuatan maksiat dan pengunjung yang datang khasnya bersama keluarga lebih selesa bersiar-siar di sini," katanya.

Tinjauan Sentral mendapati, laluan di bawah Jambatan Banting itu agak terpencil menyebabkan ia dijadikan tempat pasangan kekasih bermesra.
Bagi Mohd Fazli Hashim, 26, kedudukan yang agak terlindung menyebabkan pasangan kekasih tanpa segan silu berpelukan dan menunjukkan aksi mesra mereka walaupun berada di khalayak ramai.

"Papan tanda larangan juga sudah memaklumkan dilarang berbuat demikian, tetapi mereka ini seakan tidak menghormati perasaan orang lain yang beriadah di sini.

"Setiap petang, pasti ada pasangan kekasih melakukan aksi tidak senonoh, menyebabkan pengunjung di sini berasa rimas untuk beriadah di sini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.