KOTA MARUDU: Seorang gadis lembam bawah umur dipercayai terpaksa berlari pulang ke rumah dalam keadaan tidak berbaju selepas dirogol jiran dajal di dalam pondok usang di sebuah kebun kelapa di sini, Isnin lalu.
Gadis orang kurang upaya (OKU) berusia 14 tahun itu dikatakan termakan pujukan suspek yang mengajaknya ke kebun ketika pulang dari sekolah dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu.
Keluarga mangsa hanya menyedari kejadian malang menimpa gadis berkenaan apabila mendapati dia berkurung di dalam biliknya sambil menangis selepas pulang ke rumah kira-kira jam 1 pagi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof berkata, ibunya pelik apabila mendapati anaknya lewat pulang dari sekolah dan rasa curiganya memuncak apabila melihat gadis berkenaan menangis teresak-esak di dalam bilik.
Mohd Isa berkata, hairan melihat keadaan anaknya itu, wanita berkenaan kemudian bertanya apa yang berlaku dan selepas beberapa kali dipujuk, mangsa memberitahu dia dirogol jiran di dalam sebuah pondok di kebun kelapa berdekatan rumahnya.
“Terkejut dengan pendedahan anak gadisnya itu, wanita berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu pada jam 8.30 pagi keesokan harinya,” katanya. Katanya, sepasukan anggota polis dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati suspek adalah jiran yang dimaksudkan mangsa dan dia ditahan di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah gadis berkenaan.
“Suspek dikatakan memujuk mangsa supaya mengikutnya ke sebuah pondok di dalam kebun kelapa yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya ketika gadis itu dalam perjalanan pulang dari sekolah,” katanya.
Menurutnya, beberapa barang bukti termasuk baju yang dipakai mangsa turut ditemui di tempat kejadian dan dihantar ke makmal untuk siasatan manakala mangsa ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan lanjut.
"Suspek kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.
Jika tersabit, ada yang nak tersiat kulit punggung.
BalasPadam