Khamis, 9 Februari 2012
ADIRA MOHON MAAF AKUI KESILAPAN PELUK ANJING
Penyanyi Adira (AF8) mengakui kesilapannya kerana memeluk seekor anjing seperti mana tersebarnya sekeping gambar yang dipaparkan di beberapa laman blog hiburan.
Mengulas mengenai perkara itu, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 22, berkata anjing yang dipeluk itu bukan miliknya tetapi kepunyaan ibu mertua kepada kakaknya yang berbangsa Cina di Sabah.
“Saya tidak nafikan itu gambar saya. Memang saya memeluk anjing itu tetapi ia bukan milik saya.
“Sebenarnya ia adalah gambar lama yang diambil pada tahun lalu ketika saya sekeluarga berkunjung ke rumah ibu mertua kakak yang bukan beragama Islam.
“Ia adalah gambar yang saya jadikan gambar profil di dalam telefon bimbit dan tidak tahu bagaimana ia boleh tersebar,” katanya kepada mStar Online.
Adira mengakui kesilapannya menyimpan gambar dia memeluk anjing yang boleh mengundang kontroversi.
Ketika ditanya tidakkah dia peka dan sensitif bahawa tindakan dangkal itu boleh mengundang persepsi negatif di kalangan masyarakat, Adira berkata sebagai selebriti beragama Islam yang mengetahui soal hukum-hakam, dia mengakui kesilapan tersebut.
“Saya sedar tindakan bergambar dengan anjing itu salah dan boleh mengundang fitnah. Tapi saya peluk anjing itu ketika ia dalam keadaan kering dan sudah pun menyamak selepas itu.
“Saya memeluknya kerana terlalu geram melihat kecomelan binatang itu. Memang ia haram di sisi Islam tapi anjing juga makhluk Tuhan,” katanya.
Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Sakura ini menyambung, kesan penyebaran gambar itu mengajarnya agar lebih berhati-hati dan tidak menyimpan gambar yang boleh mencetuskan syak wasangka atau kontroversi pada masa hadapan.
“Ini bukan kali pertama saya diasak kontroversi dan saya perlu ambil kisah atas setiap perkara yang boleh memburukkan nama saya dan keluarga. Saya mohon maaf atas kesilapan itu.
“Saya berharap peminat tidak mudah menjatuhkan hukum atau menghentam golongan artis dengan kata-kata yang kesat dan keterlaluan.
“Saya akui perkara ini berlaku disebabkan kecuaian dan sikap kurang peka. Sebagai manusia saya tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan,” katanya dalam nada kesal.
sumber: mStar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.