Sabtu, 4 Februari 2012

Kes Sosilawati: Dokumen yang dirampas mengandungi nama ahli perniagaan India

SHAH ALAM, Feb 3 – Nama ahli perniagaan India yang dilaporkan hilang, Muthuraja a/l Allalkathan, tercatat pada beberapa dokumen yang dirampas polis dari pejabat guaman N. Pathmanabhan, tertuduh pertama dalam kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, Mahkamah Tinggi disini diberitahu hari ini. Muthuraja, 37, dilaporkan hilang sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Januari 18, 2010. Menurut Bernama, dokumen mahkamah dan perjanjian jual-beli antara Muthuraja dengan syarikat milik Sosilawati (gambar), Southern Symphony Sdn Bhd, adalah di antara barang kes yang dikemukakan dan dicam oleh pegawai turus bahagian operasi khas (D8) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, pemangku ASP Koh Fei Cheow. ASP Koh, yang merupakan saksi ke-97 pendakwaan, turut mengesahkan surat kuasa kepada Muthuraja serta beberapa dokumen yang tercatat nama Abdul Rahman Palil dan salinan cek yang dibayar kepada Pathma Nalli & Partners. Bekas peguam Pathmanaban bersama tiga pekerja ladang – T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R Khatavarayan – didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan Kamaruddin Shamsuddin pada Ogos 30, 2010. Mereka berempat didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan. S. Usharani, isteri kepada Muthuraja, dijangka akan dipanggil memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir apabila perbicaraan disambung pada Rabu depan. The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.