Rabu, 2 Januari 2013

Pampasan RM207b: Jejak jumpa kedutaan Jepun esok

KUALA LUMPUR: Sekretariat Jejak akan mengadakan kunjungan ke kedutaan Jepun esok (3 Januari) jam 3.00 petang bagi mendapatkan kepastian berhubung pemberian pampasan sejumlah RM207 billion kepada buruh landasan keretapi maut.

Pengerusinya, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, kunjungan ini merupakan langkah ketiga selepas tidak mendapat respons daripada kerajaan setelah beliau membangkitkan di dalam sesi Parlimen lepas.

"Selepas kita bangkitkan perkara ini di parlimen, kerajaan enggan menjawab, kemudian kita tubuhkan operasi Jejak, dan insyallah akan ada lagi langkah seterusnya selepas pertemuan dengan kedutaan Jepun esok," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahlli Parlimen Bukit Gantang berkata, setelah tertubuhnya Sektretariat Jejak timbul pelbagai persoalan tentang pampasan itu.

Jelasnya, pertemuan esok adalah untuk meminta kepastian tentang pampasan yang dikatakan telah diberikan kepada mangsa.

Isu landasan maut ini sebelum ini didedahkan oleh Nizar yang mempersoal ke mana perginya wang pampasan berjumlah RM207 billion yang telah dibayar oleh kerajaan Jepun itu.

Nizar berkata seramai 72,000 penduduk Tanah Melayu pada ketika itu dikerah menjadi buruh paksa membina landasan itu dan hanya 30,000 orang daripada mereka yang kembali ke Malaysia sementara selebihnya gagal dikesan.

Mengikut pecahan, jumlah 30,000 buruh ini mellibatkan 60 peratus bangsa Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan 5 peratus bangsa lain.

Nizar berkata, dengan jumlah RM207 bilion itu setiap keluarga dianggarkan layak menerima sehingga RM3 juta wang pampasan.

Sejak didaftarkan secara rasmi pada 11 Januari 2011, persatuan terbabit telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan dari kerajaan Malaysia tetapi hingga kini masih gagal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.