KUALA LUMPUR: Bukan mudah bagi seseorang untuk meninggalkan segala kesenangan, lebih-lebih lagi bagi seorang artis yang penuh dengan kehidupan serba glamor.
Malah, terlalu banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan apabila seseorang artis itu memilih jalan yang berbeza dari rakan-rakannya.
Bagi penyanyi kumpulan Brothers dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman (gambar), beliau telah lima tahun merasai 'kehilangan' dari dunia arus perdana.
"Walaupun tidaklah disenaraihitam, tapi saya dapat merasakan sudah agak kurang di media perdana. Namun, saya percaya rezeki ada di mana-mana," ungkap beliau ketika ditemui di Malam Seni untuk Perubahan, di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.
Beliau yang membuat kemunculan sulung ketika di Konvensyen Pakatan Rakyat, bulan lalu menceritakan tentang dirinya yang sudah lama menyokong dan mendokong perjuangan Pakatan Rakyat.
Cuma, baru-baru ini sahaja beliau menyertai PKR secara rasmi, dalam usaha menyampaikan mesej yang lebih bermanfaat kepada peminat seni tanah air.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak berminat menjadi wakil rakyat, sebaliknya lebih senang menyampaikan mesej dengan nyanyian bagi mengajak rakyat membuat perubahan, terutamanya rakan-rakan artis.
"Saya tidak berminat menjadi orang politik. Tak mahu jadi wakil rakyat. Saya akan menyumbang berasaskan bidang saya ini," tegas beliau.
Menyedari suasana hari ini yang tidak memihak kepada rakan artis jika memilih Pakatan Rakyat, Yasin berkata itulah antara pengorbanan yang perlu dilakukan.
Namun, katanya ia bergantung atas kekuatan seseorang artis itu untuk membuat perubahan, di samping bersedia bagi menghadapi suasana tersebut.
"Kalau diikutkan, ramai lagi artis-artis di negara ini yang kuat menyokong Pakatan Rakyat, cuma mereka belum bersedia. Ada yang mempunyai keluarga, yang terpaksa menjaga periuk nasi mereka. Dan kita perlu hormati mereka," kata beliau.
Berpandangan perubahan yang dilakukannya tidak boleh memaksa rakan artis lain mengikut jejaknya, Yasin berkata perubahan terbaik hanya berlaku apabila ia datang dari hati dan bukannya ikutan semata-mata.
Dalam kesempatan itu juga, Yasin turut menyeru rakyat Malaysia dan rakan artis agar bersedia untuk membuat perubahan pada pilihan raya umum akan datang.
Sebelum itu, Yasin menyampaikan persembahan di hadapan kira-kira 5000 hadirin yang memenuhi padang Kelab Sultan Sulaiman, dengan mendendangkan lagu bertajuk 'Satu Perjuangan'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.