Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir sedia mengunggu sehingga enam bulan lagi untuk mengisi kekosongan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang diperuntukkan kepada MCA. Mukhriz telah melantik lapan anggota Exco dari kalangan ADUN Umno.
MCA sehingga kini masih terikat dengan resolusi yang diputuskan diperingkat Pusat melarang wakil rakyatnya memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan Negeri atau Pusat. Di Kedah MCA menang dua kerusi DUN, di Kulim dan Gurun. Tiada kerusi dimenangi oleh MIC dan Gerakan. Maka kerajaan negeri hanya layak digelar kerajaan Umno, bukannya BN.
Enam bulan adalah masa yang panjang, sepanjang enam bulan tersebut tiada siapa yang akan menjaga potfolio masyarakat Cina iaitu potfolio Exco yang dijanjikan kepada MCA. Atau mungkin itu satu cara Umno 'mengajar' masyarakat Cina Kedah yang tidak menyokong BN dalam PRU lalu. Katakan selepas enam bulan nanti keputusan MCA tetap sama iaitu tidak membenarkan ADUNnya menyertai pentadbiran negeri sebagai Exco, maka kekallah Kedah ini diperintah oleh Umno semata-mata. Jika hal tersebut berlaku maka slogan 1Malaysia tidak lagi boleh dipakai di Kedah. Ia harus ditukar dengan slogan 1Umno.
Sebaik PAS mengambilalih Kedah Mac 2008 dahulu, slogan Kedah Sejahtera di perkenalkan. Slogan itu diambil dari manifesto PRU12 PAS Kedah yang meletakkan tema 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'. Di zaman Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadui Menteri Besar beliau perkenalkan slogan 'Kedah Gemilang'. Di zaman Datuk Seri Syed Razak sebelum itu, slogannya ialah 'Kedah Maju 2010'. Kini sudah lebih sebulan menerajui Kedah, Mukhriz dan Umno Kedah masih teraba-raba mencari slogan. Apa kata kalau Mukhriz menggunakan 'Kedah Perlahan', iyalah perlahan dalam serba serbi tindakan.
Isu yang hangat diperkatakan juga ialah 'pengharaman' kuliah agama Sri Mentaloon yang diadakan setiap hari Sabtu. Kuliah tersebut diasaskan oleh Pejabat Menteri Besar sewaktu Ustaz Azizan dahulu. Ia diserahkan kepada Yayasan Paksi (yang diasaskan oleh AlMarhum Ustaz Suhaimi Hj Ahmad) untuk mengelolakannya, menggunakan peruntukan dan kemudahan Pejabat Menteri Besar. Kehadiran orang ramai, yang sebahagian besarnya terdiri dari kakitangan kerajaan dan golongan pesara sangat luarbiasa. Jika tokohnya hebat, kerusi yang disediakan tidak muat untuk mengisi semua hadirin.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Paksi, Ustaz Akhyari Ismail, sebaik kerajaan negeri bertukar mereka telah tidak diberi kebenaran untuk mengadakan kuliah tersebut. Tiada beza maksudnya antara 'tidak membenarkan' dengan 'mengharamkan'. Tetapi Exco yang memegang potfolio agama, Mohd Rawi Abd Hamid melenting apabila terdapat laporan di media maya menyebut kerajaan negeri Umno telah mengharamkan kuliah agama. Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan kuliah agama tersebut.
Selepas sebulan tiada kuliah di Seri Mentaloon maka akhirnya pada 8 Jun lalu, mereka mengundang Mufti Kedah Datuk Badarudin Haji Ahmad untuk menghidupkan semula kuliah agama tersebut. Namun kehadiran orang ramai sangatlah mengecewakan, berbanding dahulu.
Sewaktu jadi pembangkang dahulu, pengerusi Perhubungan Umno, Datuk Md Bashah mengadakan sidang media khas membantah kewujudan Pusat hiburan yang disifatkannya terlalu banyak di Alor Setar. Umno mendesak semua pusat hiburan tersebut ditutup. Tidak cukup dengan itu Umno dan NGO mengadakan himpunan haram di hadapan Wisma Darul Aman menyerahkan memorandum ke pejabat Menteri Besar mendesak pusat-pusat hiburan ditutup.
Sekarang mereka sudah berkuasa. Langsung tiada tanda-tanda bahawa pusat hiburan akan ditutup. Tiada kenyataan yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk menutupnya. Bahkan menurut laporan, kini pusat hiburan terus beroperasi sehingga awal pagi dan pengunjungnya pula terdiri dari orang-orang Islam. Sekurang-kurangnya dahulu, pusat hiburan didakwa banyak tetapi yang mengunjunginya ialah orang bukan Islam. Pejabat agama kini pun tidak lagi aktif beroperasi seperti dahulu. Mungkin tiada arahan dari pihak atas. Semuanya serba lembab.
Sekarang adalah masa pelajar-pelajar lepasan sekolah menengah mendapat tawaran belajar ke IPTA. Di masa kerajaan Pakatan dahulu, para pelajar yang mendapat tawaran itu hanya perlu menyerah salinan surat tawaran kepada Pengerusi MKK (Majlis Ketua Kampung/komuniti) untuk dipanjangkan kepada kerajaan negeri. Pelajar yang mengikuti program diploma dapat RM200, manakala ijazah dapat RM400. Sekarang kerajaan negeri masih belum buat keputusan sama ada, program tersebut diteruskan atau tidak. Semuanya serba lembab.
Sebulan lagi umat Islam akan berpuasa Ramadhan. Dahulu, sepanjang Ramadhan Menteri Besar akan menjelajah setiap daerah menyampaikan sumbangan untuk guru-guru pra sekolah, guru-guru Al-Quran sukarela dan bidan kampung. Mukhriz masih belum membuat pengumuman sama ada program tersebut akan diteruskan. Masa pentadbiran Pakatan yang hanya menggunakan sumber kewangan negeri semata-mata, pun kerajaan dapat menghulurkan pelbagai bantuan untuk rakyat tetapi bila Kedah diperintah Umno yang mempunyai 'bapa kandung' di Pusat, mereka masih belum dapat buat keputusan hendak memberi atau tidak. Lembab sungguh.
Bagi projek ladang agroteknologi yang dimulakan semasa kerajaan Pakatan dahulu Mukhriz arahkan ia dihentikan, sementara kajian dibuat. Kaji lagi. Sementara kajian selesai, pokok-pokok yang sudah ditanam tentu mati kekeringan kerana kerja mengairi, membaja dan memantau tidak dapat dilalukan.
Begitu juga kedudukan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) pelbagai khabar angin tersebar mengenai tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan negeri terhadap IPT tersebut. Ada yang mengatakan bahawa IPT tersebut akan diswstakan, dan kerajaan hanya akan menumpukan kepada program asas pengajian Islam sahaja. Jawapan yang diberi oleh kerajaan negeri ialah mereka sedang mengkaji. Sudah lebih sebulan tak habis-habis lagi mengkaji.
Begitulah lembabnya kerajaan Umno pimpinan Mukhriz dalam membuat keputusan. Negeri lain sudah melangkah jauh, sudah sampai ke angkasa dan kebulan, kerajaan Umno Kedah asyik mengkaji tak habis-habis.
Oleh Zulkifli Yahaya
http://
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.