Sabtu, 8 Jun 2013

‘Undang-undang derhaka’ bawa negara pemerintahan totalitarian - Dr Aziz Bari


‘Undang-undang derhaka’ bawa negara pemerintahan totalitarian - Dr Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, cadangan ‘undang-undang kesalahan menderhaka’ berpotensi disalahguna sehingga menyebabkan negara menuju pemerintahan totalitarian.
“Undang-undang yang tidak selaras dengan demokrasi memang mempunyai potensi untuk disalahgunakan.
“Apa pun, negara yang stabil dan yakin dengan rakyatnya tidak akan mengekang dengan undang-undang yang drakonian seperti itu.
“Jika undang-undang yang mengharamkan bantahan diluluskan, ertinya negara itu menuju ke arah negara totalitarian atau negara satu parti; macam negara komunis,” katanya dalam emel kepada Keadilandaily.
Aziz diminta mengulas pandangan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah yang mencadangkan penggubalan undang-undang khas, seperti kesalahan menderhaka kepada Raja.
Namun, beliau menegaskan seperti pandangannya sebelum ini, bahawa Perlembagaan adalah institusi tertinggi di Malaysia dan semua orang termasuk Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepadanya.
Katanya, semua orang mempunyai hak kerana ia dijamin oleh Perlembagaan dan sebarang bantahan dilakukan mengikut saluran undang-undang.
“Membantah adalah hak yang sah di sisi undang-undang yang demokratik. Saya kata semua orang, termasuk Agong, tertakluk kepada Perlembagaan.
“Jadi tak ada siapa yang boleh nafikan hak yang termaktub di situ. Saya mengeluarkan pandangan berdasarkan undang-undang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.