Khamis, 25 Julai 2013

Jangan TERMUNTAH: Benda neh dah LUMRAH bagi masyarakat kita [Tengok la APA DIA...

Jangan TERMUNTAH: Benda neh dah LUMRAH bagi masyarakat kita [Tengok la APA DIA...]

PRK Kuala Besut: Pengundi dilihat beratur ambil duit rumah ketua kampung selepas mengundi

Pengundi telah dilihat beratur untuk mendapatkan wang tunai di luar rumah sekurang-kurangnya dua ketua kampung di Kuala Besut hari ini, kononnya untuk elaun perjalanan mereka.

Mereka dilihat di kediaman ketua kampung Lay Out dalam daerah mengundi Tok Saboh dan kediaman ketua kampung di kampung yang berdekatan.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama kampung tersebut sementara menunggu untuk mendapatkan komen.

Menurut beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakiniberhampiran pusat mengundi di SK Kampung Nangka dan di luar rumah ketua kampung itu - kebanyakan mereka enggan dinamakan - wang itu untuk pengundi yang pulang dari luar untuk mengundi.

Jumlahnya ialah antara RM50 bagi mereka yang pulang dari Kota Baru, sehingga RM200 bagi mereka yang pulang dari Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, apabila diminta untuk mengesahkannya, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ketua kampung Lay Out, 'Rajees' menjawab, "Saya jutawan di sini. Saya boleh memberikan wang kepada sesiapa sahaja yang saya suka."

Ketika ditanya mengapa pengagihan wang itu dibuat serentak dengan hari pengundian pilihan raya kecil Kuala Besut, beliau mendakwa wang itu untuk duit raya.

Beliau menambah bahawa borang-borang yang dikemukakan oleh pengundi bagi menuntut elaun itu adalah bagi tujuan pengauditan.

Beliau enggan memberitahu nama penuhnya atau membenarkan gambar diambil di rumah, di mana kira-kira 50 orang beratur untuk menuntut wang mereka, dengan bendera BN dan menghias pintu pagar.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang ditemui berhampiran rumah Rajees, yang ingin dikenali hanya sebagai 'Rizal', berkata wang itu adalah untuk elaun perjalanan dan perkara yang sama berlaku semasa pilihan raya umum lepas.

Keadaan yang sama juga dilihat di kediaman ketua kampung lain pada sekitar tengah hari, di mana Malaysiakini ternampak seorang kerani menyerahkan RM200 kepada pengundi manakala yang lain beratur menunggu giliran mereka.

Bagaimanapun, seorang penduduk kampung kemudiannya meminta wartawan Malaysiakini supaya beredar dari situ.

Malaysiakini tidak dapat memperolehi jawapan konkrit dari penerima wang tersebut sama ada penyokong parti politik tertentu sahaja yang menerima wang tersebut.

Menurut seorang daripada mereka - seorang pemuda dari Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Hilmi - dia dihubungi melalui telefon sebelum hari mengundi dan di masukkan ke dalam senarai nama. Dia juga ditemui berhampiran rumah Rajee. ~ Malaysiakini

Shalehudin.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.