Khamis, 11 Julai 2013

Paling lewat selesai penamaan jam 11 pagi


KUALA BESUT - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka proses penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Jumaat ini, akan selesai selewat-lewatnya pukul 11 pagi.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata proses penyerahan kertas penamaan calon akan dibuka selama sejam bermula 9 pagi di Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja Besut di sini.

"Kalau semuanya berjalan lancar, nama-nama calon dijangka diisytharkan menjelang pukul 10.30 pagi atau paling lewat 11 pagi," katanya kepada Bernama hari ini.

SPR menetapkan Jumaat ini hari penamaan calon manakala 24 Julai ini sebagai hari pengundian.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

BN mengumumkan anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, seorang jurutera awam dari Jabatan Pengairan dan Saliran, sebagai calonnya manakala Pas menamakan Endot@Azlan Yusof, 48, seorang kontraktor sebagai calonnya.

Abdul Aziz berkata proses penamaan calon itu tidak akan mengganggu urusan umat Islam setempat dan penyokong parti untuk mengerjakan solat Jumaat.

Beliau berharap kemuliaan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari menyempurnakan kelancaran proses penamaan calon itu.

"Penamaan calon ini adalah langkah pertama PRK ini, kita (SPR) harap semuanya akan berjalan lancar lebih-lebih lagi hari Jumaat adalah cuti umum di Terengganu," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut dengan mengalahkan calon Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.