Rabu, 25 Disember 2013

Panas!! Kerajaan BN Perak Bakal Tumbang?

Tujuh bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dua calon PAS Perak mengambil tindakan mahkamah untuk menyingkirkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) kerana tidak menjadi penduduk negeri itu semasa hari pengundian, 5 Mei lalu.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 24 Februari 2014.

Salah seorang peguam dalam kes itu, Robin Lim, berkata saman difailkan terhadap Adun Manong dari BN, Mohamed Kamil Shafie dan Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya kerana melanggar Artikel 30 Perlembagaan Perak.

Katanya, Adun negeri tersebut mesti menjadi penduduk tetap Perak semasa hari pengundian.“Mereka menetap di Lembah Klang dan pemilihan mereka sebagai Adun bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Saman difailkan oleh Jamil Dzulkarnain yang tewas kepada Mohamed Kamil sementara satu lagi saman difailkan Misbahul Munir Masduki terhadap Shahrul Zaman.

Mohamed Kamil menang 231 undi majoriti sementara Shahrul Zaman menang dengan majoriti 613 undi.Dalam tuntutan saman, plaintif Jamil dan Misbahul Munir berkata, Adun BN tersebut tinggal di luar Perak dan alamat di MyKad mengesahkan mereka bukan penduduk tetap negeri itu.

Plaintif mahu mahkamah mengisytiharkan Adun BN tersebut digugurkan daripada jawatannya sebagai wakil rakyat.Mereka juga menggesa mahkamah mengeluarkan arahan bagi menghalang Adun berkenaan menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, Adun berkenaan berkata, penyingkiran seseorang wakil rakyat perlu dibuat melalui petisyen pilihan raya.Jamil dan MIsbahul Munir dalam kenyataan balas berkata, mereka tidak mencabar keputusan pilihan raya tetapi kelayakan dua Adun tersebut.

Semasa pilihan raya umum lalu, BN berjaya mengukuhkan penguasaannya di Perak selepas menang 31 kerusi DUN sementara Pakatan Rakyat (PR) memenangi 28 kerusi dengan DAP 18 kerusi, PAS (4) dan PKR (6).

Selepas PRU13, PAS memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan pilihan raya di kawasan DUN Pasir Panjang, Manong, Selama, Lubuk Merbau, Rungkup dan Manjoi.Selain Lubuk Merbau, petisyen tersebut gagal dibicarakan atas alasan teknikal.


Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengarahkan hakim pilihan raya mendengar semula petisyen Lubuk Merbau.

The Malaysian Insider difahamkan permohonan sama difailkan terhadap Adun Manjoi dari BN kerana tidak menjadi penduduk tetap Perak.Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi itu selepas menewaskan Asmuni Awi dengan majoriti 132 undi. ~tmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.