Isnin, 14 April 2014

MH370: Media kerajaan sendiri tolak kesimpulan PM

KUALA LUMPUR: Memasuki hari ke-35 pencarian pesawat MH370, jika mengambil kira kenyataan penuh sedih Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan pesawat itu dikesan kali terakhir di sebuah kawasan sunyi di selatan Lautan Hindi serta jauh daripada mana-mana landasan yang dalam bahasa mudahnya bermaksud ianya telah terhempas dan tiada yang terselamat, tetapi media arus perdana dah milik kerajaan sendiri seperti menafikan kenyataan Najib itu.

“Ada media arus perdana turut meragui pesawat itu terhempas dengan mengaitkan penglibatan CIA dengan kehilangan itu yang lebih dipercayai dengan teori rampasan,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Menurutnya, hujah yang digunakan pula amat mudah iaitu jika bangunan WTC di New York boleh dimusnahkan, apalah halnya dengan hanya sebuah pesawat.

Berikut tulisan penuh beliau.

Setelah masuk hari ke-35 pencarian pesawat MH370 yang masih hilang, nampaknya makin banyak karut-marut dan perkara yang mengelirukan orangramai berlaku dalam operasi itu. Selain banyak isyarat ping yang kononnya dikesan tetapi akhirnya hilang begitu saja, beberapa objek yang dulunya dikesan begitu banyak di Lautan Hindi dan dipercayai daripada pesawat yang hilang itu, semuanya kini tiada khabar berita lagi.

Operasi pula kini seolah-olah lebih menumpukan untuk mencari kotak hitam pesawat manakala pencarian badan kapalterbang yang jauh lebih besar daripada kotak hitam, tidak lagi menjadi keutamaan. Begitu juga dengan mencari mayat-mayat penumpang yang seramai 239 itu seperti tidak lagi menjadi penting.

Belum pun kotak hitam ditemui, pemangku Menteri Pengangkutan berkata, Peguam Negara kini sudah pun berada di United Kingdom untuk membincangkan mengenai hak keatas kotak hitam itu. Sekali lagi orangramai jadi keliru, bukankah jika membeli pesawat, ia termasuk kotak hitamnya sekali?

Dan kenapa pula kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk menuntut hak keatas kotak hitam itu?

Apakah akan jadi nanti sekiranya hanya kotak hitam ditemui tetapi tiada langsung serpihan pesawat atau cebisan mayat penumpang yang ditemui? Tentulah ada yang bertanya, dari mana pula datangnya kotak hitam itu?

Atau bagaimana pula jika ketiga-tiganya, kotak hitam, pesawat dan mayat langsung tidak ditemui sampai bila-bila?

Meskipun semua orang mahukan kebenaran mengenai apa yang sebenarnya berlaku, tetapi kepentingan waris mangsa tidak seharusnya dilupakan. Waris mangsa hanya mahukan pengesahan jika ada kematian, mestilah ada sekurang-kurangnya cebisan mayat yang ditemui atau jika terhempas, mestilah ada serpihan pesawatnya?

Oleh itu, sementara kotak hitam dicari, tumpuan kepada pesawat dan nasib penumpangnya haruslah juga seimbang.

Dalam masa yang sama, memasuki hari ke-35 ini juga, jika mengambil kira kenyataan penuh sedih Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan pesawat itu dikesan kali terakhir di sebuah kawasan sunyi di selatan Lautan Hindi serta jauh daripada mana-mana landasan yang dalam bahasa mudahnya bermaksud ianya telah terhempas dan tiada yang terselamat, tetapi media arus perdana dah milik kerajaan sendiri seperti menafikan kenyataan Najib itu.

Ada media arus perdana turut meragui pesawat itu terhempas dengan mengaitkan penglibatan CIA dengan kehilangan itu yang lebih dipercayai dengan teori rampasan. Hujah yang digunakan pula amat mudah iaitu jika bangunan WTC di New York boleh dimusnahkan, apalah halnya dengan hanya sebuah pesawat.

Terdapat pula media yang membuat spekulasi bahawa pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid ada menghubungi seseorang yang tidak dapat dikesan ketika pesawat itu terbang rendah di sekitar Pulau Pinang.

Kedua-dua spekulasi ini cuba menghidupkan teori rampasan berbanding terhempas.

Semua teori dan spekulasi ini datangnya daripada media arus perdana dan dimiliki oleh kerajaan. Ia nampak terang-terang cuba menolak kesimpulan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang turut menjaga kepentingan tempat mereka bekerja yang sebelum ini mengatakan MH370 telah terhempas dan tiada penumpangnya yang selamat.

Meskipun Hishammuddin menolak kedua-dua teori itu dan bekas Duta AS, John Mallott juga memperlekeh teori konspirasi CIA itu sebagai bukti kewartawanan yang menulis berdasarkan rekaan, paranoid dan perkauman, hakikatnya selepas lebih sebulan kehilangan pesawat itu menjadi misteri, akhbar milik kerajaan sendiri tidak percaya dengan kerajaan.

Jika sebelum ini, Hishammuddin memberi amaran kepada media agar jangan membuat sebarang spekulasi dan salah lapor serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang, kini media naungan kerajaan sendiri yang berbuat demikian. Bahkan keghairahan mereka ke arah itu melebihi media baru.

Perlakuan mereka ini bukan saja memalukan kerajaan tetapi juga mencabar kewibawaan seorang Perdana Menteri yang sebelum ini terang-terang yakin bahawa pesawat itu telah terhempas.

Tetapi apabila media kerajaan sendiri kebelakangan ini lebih ghairah berspekulasi dan membuat bermacam-macam teori, jawapan Hishammuddin cukup mudah, "seperti media barat, mereka juga bebas melaporkan apa saja. Tetapi akhirnya, jika laporan itu tidak benar, mereka akan hilang kredebiliti".

Senang dan santai saja jawapannya bila terkena batang hidung sendiri.

Persoalannnya, mana janji saman dan ambil tindakan undang-undang yang begitu garang dilaungkan sebelum ini? Mana pula peranan Peguam Negara yang kononnya sudah mula mengumpul bukti mengenainya sejak hari pertama kehilangan MH370 lagi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.