Isnin, 2 Jun 2014

Polis Mungkin Dakwa Ibu Mangsa Kanak-Kanak Dipenggal Kepala

KUALA LUMPUR: Polis sedang melihat kemungkinan akan mendakwa ibu kepada Siti Soffea Emelda Abdullah kerana cuai sehingga mengakibatkan kanak-kanak berusia dua tahun itu dibunuh dengan kejam.

Sumber daripada pasukan penyiasatan berkata, mereka mendapati wujud kenyataan bercanggah daripada ibu kanak-kanak malang itu, Siti Salmy Suib, 32, yang mendakwa dia meninggalkan anaknya itu kepada rakannya kerana mahu ke tandas di pusat membeli-belah Kota Raya pada pukul 3 petang.

Apabila dia keluar dari tandas lima minit kemudian, Siti Salmy mendakwa anak perempuannya itu tiada bersama rakan-rakannya dan mula mencari anaknya itu.

Dia turut mendakwa hanya mengetahui apa yang berlaku selepas polis menghubunginya pada malam kejadian.

"Bagaimanapun apabila kami memeriksa rakaman CCTV, kanak-kanak perempuan itu dilihat bermain sendirian apabila suspek melarikan mangsa.

"Tidak ada kawan-kawannya disekeliling. Mungkin ada, tapi mereka tidak ada di situ ketika kanak-kanak itu dilarikan.

"Kami sedang melihat kembali kenyataan dia, mungkin dia cuba menyembunyikan sesuatu untuk lindungi dirinya," kata sumber itu.

Tambah sumber itu lagi, rakaman CCTV menunjukkan seorang pengawal keselamatan sedang memerhatikan suspek membawa pergi Siti Soffea namun tidak mengambil apa-apa tindakan.

Kata sumber berkenaan, menurut hasil rakaman percakapan pengawal keselamatan itu, dia memberitahu bahawa kerap kali melihat kanak-kanak itu dijaga oleh beberapa orang yang berbeza kerana Siti Soffea dan ibunya selalu berada di tempat berkenaan.

"Kami mungkin boleh mengaitkan ibu mangsa kerana cuai apabila kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP)," kata sumber itu.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng berkata, polis masih menyiasat motif di sebalik kes pembunuhan kejam itu yang berakhir apabila suspek ditemui mati lemas.

Sebelum ini mayat Siti Soffea ditemui dalam keadaan kepalanya terpisah daripada badan berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan kira-kira pukul 9 malam.

Polis turut menemui serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa di tempat kejadian.

Media sebelum ini melaporkan saksi melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak tersebut di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan sesuatu pada leher mangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.