Isnin, 23 Jun 2014

Sampaikan Perkara Yang Benar Walaupun Pahit, Titah Sultan Nazrin Shah

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah meminta anggota Dewan Negara Perak memberi sebaik-baik nasihat dan panduan serta sentiasa menyampaikan kepada baginda perkara yang benar walaupun ia pahit untuk dinyatakan.
Baginda bertitah setiap kebenaran wajib dipersembahkan kepada baginda tanpa sebarang rahsia.
“Jauhkan beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah, sedangkan realiti yang berlaku dalam kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan.
“Semoga anggota Dewan Negara akan membantu beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan adil lagi saksama,” titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 di Istana Iskandariah di sini, Jumaat.
Ia adalah Mesyuarat Dewan Negara yang pertama dipengerusikan baginda selepas bergelar Sultan.
Sultan Nazrin bertitah sumpah jawatan yang baginda zahirkan ketika dilantik sebagai Sultan adalah ikrar perjanjian baginda dengan Allah dan ia adalah amanah dan tanggungjawab yang berat.
Baginda bertitah ketika mesyuarat Dewan Negara Perak ke-150 pada 6 Mac 2012, mesyuarat terakhir yang dipengerusikan ayahanda baginda Sultan Azlan Shah, almarhum bertitah institusi raja akan kekal relevan jika terus mendapat penghormatan rakyat.
Sultan Nazrin bertitah almarhum telah meninggalkan legasi pemerintahan yang wajib dijadikan rujukan.
Baginda bertitah kata-kata peringatan yang dizahirkan ayahanda baginda semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980 akan dijadikan pedoman.
Almarhum yang ketika itu masih seorang hakim yang dikenali sebagai Tan Sri Azlan Shah dalam ucapannya berkata: “…sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat istana yang tidak bertanggung jawab kepada rakyat.
“Sebenarnya, penasihat istana ini adalah terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara.
“Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat. Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata.
“Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya”.
Sultan Nazrin bertitah, almarhum telah memenuhi peranan seorang Raja Pemerintah yang berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan.
“Almarhum telah melakarkan imej Raja Pemerintah yang disegani dan menyuntik kedaulatan takhta yang dihormati,” titah baginda.
Baginda bertitah daulat seseorang Raja Pemerintah itu akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan kearifan serta keadilan dan kesaksamaan pemerintahan baginda.
“Pemerintah yang bijak dan arif, adil dan saksama, akan dilimpahkan rahmat Ilahi, negerinya makmur dengan pelbagai rezeki, dan Raja berupaya memberi payung naungan membolehkan rakyat hidup dalam rukun, damai, harmoni lagi sejahtera,” titah baginda.
-mStar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.