Rabu, 26 Ogos 2015

Mohon maaf atau disaman, kata keluarga Anwar kepada ketua Umno Kepong yang mengampu Najib

Mohon maaf atau disaman, kata keluarga Anwar kepada ketua Umno Kepong yang mengampu Najib
Keluarga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tuntut Ketua Umno Bahagian Kepong Datuk Rizuan Abd Hamid mohon maaf kepada mereka. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Ogos, 2015.Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan tuntutan saman terhadap Ketua Umno Bahagian Kepong Datuk Rizuan Abd Hamid susulan kenyataannya yang mengatakan terdapat "berbilion ringgit" dalam akaun bank Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya.
Dr Wan Azizah, bersama anak-anaknya, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah, Nurul Nuha dan Mohd Ihsan memfailkan saman tersebut kepada Rizuan semalam.
Melalui notis tuntutan yang diedarkan kepada media, melalui peguam mereka, Daim & Gamany, Rizuan dituntut mengemukakan permohonan maaf dalam akhbar harian nasional dan penarikan balik artikel tersebut sepenuhnya.

Selain itu, Rizuan juga dituntut membayar sejumlah pampasan kerana merosakkan nama dan reputasi keluarga Anwar serta tidak lagi mengulangi kenyataannya. "Kamu juga dituntut untuk membalasnya dalam tempoh 48 jam, kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan prosiding undang-undang dikenakan dengan kosnya ditanggung pihak kamu sepenuhnya," kata notis tuntutan tersebut.
Notis tersebut turut memetik kenyataan Rizuan dalam portal berita Astro Awani yang mengatakan Yahudi menggunakan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.
Rizuan mengeluarkan kenyataan itu ketika mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepong, minggu lepas.
"Pembangkang pakai duit ratusan juta, berbilion. Tiada siapa pun yang mempersoalkan. Tengok saja dalam akaun Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, akaun Nurul Izzah, akaun Nurul Nuha, akaun Mohd Ihsan, berapa juta bilion yang ada dalam akaun itu? Kenapa tidak dipersoalkan?" kata Rizuan, dipetik laporan portal berkenaan.
Notis tuntutan berkenaan berkata, dakwaan Rizuan itu palsu dan fitnah terhadap keluarga Anwar.
Dalam ucapannya, Rizuan turut mendakwa, Yahudi menggunakan akhbar The Wall Street Journal (WSJ) dan Claire Brown untuk menjatuhkan kepimpinan kerajaan dengan memanipulasi isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Lihat saja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid pergi ke hulu ke hilir untuk mempertahankan Datuk Seri Najib Razak daripada serangan puak Yahudi terutama yang mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia melalui pintu belakang.
"Mereka mahu jatuhkan kerajaan kita," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.