Jumaat, 11 September 2015

Kerjasama dengan PAS tidak beri manfaat kepada UMNO - Nazri

KUALA LUMPUR: Sebarang usaha ke arah kerjasama antara UMNO dan PAS buat masa ini tidak akan memberi manfaat kepada parti terbesar orang Melayu itu, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Dalam satu temubual bersama portal The Malay Mail Online, Nazri berkata jika kerjasama dua parti itu diadakan ia akan menyebabkan beberapa kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang utama milik UMNO perlu diserahkan kepada PAS.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu menyeru agar UMNO tidak menjalinkan apa-apa bentuk kerjasama politik dengan PAS sehingga sekurang-kurangnya selepas pilihanraya umum akan datang biarpun parti Islam itu tidak lagi bergabung dengan parti-parti pembangkang lain.

"Mereka akan menimbulkan masalah dalam parti saya (UMNO). Asas pengundi mereka adalah sama seperti kita.

"Jika mereka menyertai kami sekarang, kami terpaksa berkongsi beberapa kerusi. Kita bertanding kerusi yang sama," Nazri dipetik sebagai berkata.

"Katakan PAS mahu kerusi Parlimen Padang Rengas, jadi jika UMNO serahkan kepada PAS, bagaimana saya rasa? Ini akan menyebabkan kebencian dalam UMNO," katanya lagi.

Nazri menggesa pemimpin UMNO supaya mengabaikan seruan ke arah perpaduan UMNO dan PAS dengan alasan ia akan menjejaskan peluang UMNO untuk memenangi pilihanraya umum akan datang.

Selepas hubungan PAS dan DAP bermasalah hingga membawa kepada perpecahan dalam Pakatan Rakyat, ada pihak yang berpendapat, parti Islam itu perlu bekerjasama dengan UMNO.

Namun, PAS menerusi kenyataan beberapa pemimpinnya menegaskan tidak akan bekerjasama dengan UMNO sebaliknya mahu bersendiri.
Isu hudud merupakan punca utama yang membawa kepada berakhirnya kerjasama politik antara DAP dan Pas.

Keretakan hubungan dua parti itu juga menyebabkan kerjasama antara parti pembangkang yang dinamakan Pakatan Rakyat yang dimulakan pada 2008 diumumkan berakhir pada Jun lalu oleh DAP.

1 ulasan:

  1. Oii nazri pas pun tak buluq kerjasama dgn hamno lebih-lebih lagi dgn orang mcm hang.

    BalasPadam

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.