Selasa, 20 Oktober 2015

Sepasang kekasih maut terjun dari tingkat 14

GEORGETOWN - Sepasang kekasih maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 14 sebuah flat di Relau di sini kerana mempunyai masalah perhubungan cinta, pagi tadi.

 gambar hiasan

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian pada jam 9.05 pagi itu berlaku di Blok 33, Persiaran Paya Terubong, Relau.

Menurutnya, polis menerima maklumat dari orang awam berhubung kejadian itu yang membabitkan seorang wanita warga Vietnam dan teman lelakinya warga Nepal.




"Kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai operator kilang maut di tempat kejadian kerana parah di seluruh anggota badan. Mayat mangsa dijumpai orang awam di bumbung lobi, tingkat 1 perumahan berkenaan.

Berdasarkan percakapan rakan serumah kedua-dua mangsa, mereka adalah pasangan bercinta.

"Keterangan rakan serumah mangsa wanita mengatakan bahawa sebelum kejadian mereka terdengar bunyi bising seperti ada orang bertengkar dan kemudiannya senyap. Mereka hanya tahu mangsa yang berusia 20 tahun telah terjun apabila orang ramai melihat ke bawah melalui kaki lima balkoni," katanya menerusi satu kenyataan.

Mior Faridalathrash berkata, mangsa yang berusia 24 tahun dipercayai terjun dari tingkat 14 Blok 33 berhampiran dengan rumah mangsa wanita berkenaan.

"Dari keterangan oleh rakan serumah mangsa lelaki, mereka menyatakan bahawa mereka tahu mangsa telah keluar berjumpa dengan kekasihnya di tingkat 14 bangunan berkenaan. Sebelum kejadian, mereka terdengar bunyi dua dentuman yang berbeza masanya.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar setakat ini tidak menjumpai sebarang bukti atau kesan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.