Sabtu, 26 Disember 2015

Najib gesa hayati sunnah Rasulullah, jadi umat berkualiti tapi bersederhana -


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ajaran Islam sebenar Rasulullah adalah ajaran untuk membentuk umat bersederhana, ‘Ummatan Wasatan’, berkualiti, mulia, cemerlang, tidak ekstrem dan adil. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Disember, 2015. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengajak umat Islam terus menghayati serta melaksanakan amalan dan sunnah Nabi Muhammad.

Menurut Najib, ajaran Islam sebenar Rasulullah adalah ajaran untuk membentuk umat bersederhana, "Ummatan Wasatan", berkualiti, mulia, cemerlang, tidak ekstrem dan adil.

"Alhamdulillah kita dapat sama-sama sambut kelahiran junjungan besar kita Muhammad semalam. Moga kita sentiasa hayati dan amalkan peninggalan Baginda," katanya dalam laman Facebook dan Twitternya.

Najib turut mengingatkan umat Islam supaya bersama-sama berusaha menjadi "Ummatan Wasatan" dengan berpegang teguh kepada sirah serta menghayati dan mengamalkan peninggalan dan keperibadian Baginda Rasulullah.

Semalam, sambutan Maulidur Rasul kali ke-2 tahun ini disambut dengan semangat kesatuan dalam kalangan umat Islam selaras dengan tema tahun ini "Perpaduan Nadi Transformasi Negara".

Sambutan diadakan di seluruh negara termasuk peringkat nasional yang pertama kali diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang dengan dipenuhi acara bagi memperingati jasa dan perjuangan Rasulullah. – Bernama, 25 Disember, 2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.